PARIS, 29 MEI – Vinicius Junior menjaringkan gol tunggal ketika Real Madrid menewaskan Liverpool 1-0 dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara di Paris untuk menjadi juara Eropah buat kali ke-14 dalam perlawanan yang dicemari insiden di luar padang yang menyebabkan perlawanan tertangguh lebih setengah jam.
Pemain sayap Brazil, Vinicius menyempurnakan hantaran dari Fede Valverde pada minit ke-59 di Stade de France untuk meletakkan Madrid mendahului perlawanan.
Liverpool gagal mencari gol penyamaan dan menyaksikan skuad bimbingan Jurgen Klopp terpaksa akur kepada gergasi Sepanyol itu pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara buat kali kedua dalam tempoh lima musim.
Skuad Anfield tertanya-tanya apa yang mungkin berlaku sekiranya Thibaut Courtois yang beraksi dengan cemerlang tidak dapat menepis rembatan Sadio Mane tatkala Liverpool menguasai perlawanan pada separuh masa pertama dan seterusnya menyaksikan mereka gagal untuk merangkul trofi kejuaraan ketiga musim ini.
Pemenang Piala Liga dan Piala FA Inggeris musim ini, mereka baru dikecewakan oleh Manchester City dalam saingan Liga Perdana Inggeris dan AC Milan dalam perlawanan Piala Eropah.
“Pemain memberikan persembahan amat cemerlang musim ini. Dua perlawanan yang kami gagal menang, kami memenanginya dengan margin paling kecil mungkin,” kata Klopp.
Liverpool kini kekal dengan enam kejuaraan Liga Juara-Juara manakala Real menjulang trofi berkenaan buat kelima dalam sembilan penampilan selain turut menjuarai saingan La Liga dengan Carlo Ancelotti menjadi jurulatih pertama memenangi saingan terbesar Eropah itu buat kali keempat.
Ancelotti turut membimbing Real ketika mereka memenangi edisi 2014 dan pernah membawa AC Milan menjuarainya pada tahun 2003 dan 2007.
Aksi final berkenaan tertangguh 35 minit akibat kekecohan yang berlaku di pintu masuk stadium. Difahamkan ia berpunca daripada ribuan penyokong yang cuba masuk menggunakan tiket palsu. – AFP