Penyanyi Indonesia, Virgoun secara rasmi sah bercerai dengan isterinya iaitu Inara Rusli pada Jumaat lalu.
Semasa prosiding di mahkamah itu, Inara hadir bersama peguamnya manakala Virgoun pula hanya diwakili oleh peguam.
Memetik dari mStar, Selain sah cerai, mahkamah turut memberikan hak penjagaan anak-anak sepenuhnya kepada Inara.
Dalam masa sama, permohonan nafkah edah, mutaah oleh Inara terhadap Virgoun juga diterima mahkamah.
Bagaimanapun, jumlah kedua-dua nafkah adalah dirahsiakan.
“Alhamdulillah hak asuhan anak diberikan kepada Inara. Nafkah edah dan mutaah juga telah diluluskan,” kata peguam kepada Inara iaitu Arjana Bagaskara.
Setelah keputusan diumumkan, Inara kelihatan mengalirkan air mata dan bersujud disebabkan terharu kerana banyak tuntutannya diterima oleh pihak mahkamah.
“Bukan sedih, tetapi lebih kepada terharu kerana yang saya minta dari Allah tidak sia-sia. Benar, janji Allah itu benar.
“Harapnya pihak Virgoun dapat terima dengan keputusan yang dijatuhkan mahkamah ini,” ujarnya.
Pada Mei lalu, Virgoun memfailkan cerai terhadap Inara selepas isterinya mendedahkan kecurangannya secara terbuka.
Untuk rekod, Virgoun dan Inara mendirikan rumah tangga pada 2014.
Mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Starla Rhea Idola Virgoun, Faithlee As-Sya’ir Virgoun dan Terang Sharique Virgoun. – Agensi