Tuesday, May 13, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Virtual Run semai budaya gaya hidup sihat

    ­­Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MEI – Dengan hasrat untuk menyemai budaya gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat di negara ini, Persatuan Jururawat Negara Brunei Darussalam (PENJURU) telah merasmikan Majlis Pembukaan Virtual Run di Pusat Promosi Kesihatan, Berakas, baru-baru ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan majlis berkenaan ialah Yang Di-Pertua PENJURU, Datin Paduka Hajah Suraya Noraidah binti Abdullah yang sekali gus menandakan bermulanya tempoh larian maya bagi para peserta iaitu selama sebulan sepanjang Jun nanti.

    Majlis yang turut dihadiri oleh ahli-ahli PENJURU itu diadakan sebagai salah satu kategori acara bagi memeriahkan larian amal bersempena dengan sambutan Hari Jururawat dan Bidan Sedunia yang bakal diadakan pada 4 Julai nanti di Pusat Promosi Kesihatan tersebut.

    Terdapat dua kategori yang dipertandingkan pada acara berkenan iaitu Virtual Run dan Larian Fizikal sejauh 10 kilometer. Dalam kategori Virtual Run 50 kilometer bagi perseorangan dan 300 kilometer secara berkumpulan, para peserta yang berjaya menamatkan jarak kilometer paling awal dikira sebagai pemenangnya.

    Manakala kategori Larian Fizikal pula dibahagikan kepada lelaki terbuka; lelaki veteran berumur 48 tahun ke atas; wanita terbuka dan wanita veteran berusia 45 tahun ke atas.

    Acara yang dibukakan kepada masyarakat di negara ini diadakan dengan matlamat untuk mengumpul dana bagi menambah tabung PENJURU yang mana 30 peratus hasil daripadanya akan disumbangkan kepada anak-anak yatim dan juga orang-orang kurang upaya di bawah persatuan tersebut.

    Di samping itu, ia juga dihasratkan untuk sama-sama mewujudkan kehidupan yang sihat demi kemakmuran dan kesejahteraan negara, di samping berpegang teguh kepada agama Islam dan nilai keBruneian yang tinggi ke arah mencapai objektif Wawasan Brunei 2035 dan visi Kementerian Kesihatan ‘Bersama Ke Arah Warga Sihat’.

    Datin Paduka Hajah Suraya Noraidah semasa merasmikan majlis tersebut di Pusat Promosi Kesihatan, Berakas, baru-baru ini.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda