NEW DELHI, 30 SEPT – Penyakit virus telah membunuh hampir 100,000 ekor lembu dan kerbau di India dan menyebabkan dua juta lagi sakit.
Penularan itu telah menjejaskan pendapatan bagi penternak lembu kerana penyakit itu bukan sahaja menyebabkan kematian malah ia boleh mengakibatkan pengeluaran susu berkurangan, haiwan menjadi kurus kering dan mengurangkan kadar kelahiran.
Penyakit itu, yang digelar sebagai penyakit kulit berketul, tersebar melalui serangga yang menghisap darah seperti nyamuk dan kutu. Lembu dan kerbau akan mengalami gejala demam dan membentuk ketulan kulit.
Penternak mengalami kerugian teruk akibat cuaca ekstrem sejak beberapa tahun kebelakangan, dengan rekod gelombang haba di India telah mengurangkan pengeluaran gandum pada April, turunan hujan yang tidak mencukupi di negeri bahagian timur seperti di Jkarkhand telah menyebabkan tanaman menjadi layu, dan turunan hujan luar biasa pada September telah merosakkan tanaman padi di bahagian utara.
Dan kini, virus itu merebak di sekurang-kurangnya 15 buah wilayah dengan jumlah kematian lembu dan kerbau hampir meningkat dua kali ganda dalam tempoh tiga minggu, menurut laporan agensi Press Trust of India.
Penyakit berjangkit di kalangan lembu memberikan impak tidak seimbang kepada penternak kecil, kebanyakannya mengasingkan diri mereka daripada kejutan perubahan iklim dengan menternak lembu untuk susu, kata Devinder Sharma, pakar dasar pertanian di bandar utara Chandigarh. – AP
