Saturday, November 30, 2024
27.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Virus hepatitis bunuh lebih 3,500 orang sehari

    GENEVA, 9 APRIL – Lebih 3,500 orang mati akibat virus hepatitis setiap hari dan jumlah kematian global semakin meningkat, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberikan amaran hari ini, menggesa tindakan segera untuk memerangi pembunuh berjangkit kedua terbesar itu.

    Data baharu dari 187 buah negara menunjukkan jumlah kematian akibat virus hepatitis meningkat kepada 1.3 juta pada 2022 daripada 1.1 juta pada 2019, menurut laporan WHO yang dikeluarkan bertepatan dengan Sidang Kemuncak Hepatitis Dunia di Portugal minggu ini.

    Ini adalah ‘trend yang membimbangkan,’ kata Ketua Program HIV, Hepatitis dan Jangkitan Seksual WHO, Meg Doherty, pada sidang akhbar.

    Laporan itu mengatakan terdapat 3,500 kematian setiap hari di seluruh dunia akibat jangkitan hepatitis iaitu 83 peratus daripada hepatitis B, 17 peratus daripada hepatitis C.

    Terdapat ubat generik yang berkesan dan murah yang boleh merawat virus ini.

    Namun hanya tiga peratus daripada mereka yang menghidap hepatitis B kronik menerima rawatan antiviral menjelang akhir 2022, menurut laporan itu.

    Untuk hepatitis C, hanya 20 peratus atau 12.5 juta orang telah dirawat.

    “Keputusan ini jauh di bawah sasaran global untuk merawat 80 peratus daripada semua orang yang hidup dengan hepatitis B dan C kronik menjelang 2030,” kata Doherty.

    Kadar keseluruhan penurunan jangkitan hepatitis sangat perlahan. – AFP

    Gambar mikroskop elektron berwarna yang disediakan oleh The Rockefeller University dan NIAID menunjukkan virion hepatitis C. Lebih 3,500 orang mati akibat virus hepatitis setiap hari dan jumlah kematian global semakin meningkat. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda