Virus mungkin punca kes hepatitis misteri

WASHINGTON, 1 MEI – Sembilan kanak-kanak dari Alabama menghidapi hepatitis misteri kesemuanya diuji positif dijangkiti patogen umum bernama ade-novirus 41, menurut satu kajian oleh agensi kesihatan Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

Kanak-kanak berkenaan, yang berusia di antara satu hingga enam tahun dan sihat sebelum ini, adalah antara kira-kira 170 kes di 11 negara dalam beberapa minggu ini, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Sebuah lagi negeri, Wisconsin, sedang menyiasat satu kematian yang dikaitkan dengan penyakit itu.

“Pada masa ini, kami percaya adenovirus mungkin merupakan punca kes berkenaan, tetapi faktor alam sekitar dan situasi masih dalam siasatan,” kata CDC dalam satu kenyataan yang mengiringi kajian.

Adenovirus 41 lazimnya menyebabkan gastroenteritis dalam kanak-kanak, tetapi ‘ia tidak membawa kepada hepatitis dalam kanak-kanak yang sihat,’ menurut agensi.

Sembilan kes Alabama berlaku antara Oktober 2021 dan Februari 2022. Tiga mengalami kerosakan hati, dua di antara mereka memerlukan pemindahan hati.

Sebelum dimasukkan ke hospital, kebanyakan kanak-kanak mengalami muntah dan cirit-birit, sementara sesetengah mengalami masalah pernafasan. Semasa di hospital, kebanyakannya mengalami mata dan kulit kuning serta hati bengkak. – AFP