PUTRAJAYA, 9 DIS – Punca jangkitan virus polio seorang anak damit lelaki berumur tiga bulan warga Malaysia dari Tuaran, Sabah, disyaki datang dari luar Sabah, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Katanya terdapat dua kemungkinan virus polio yang berjaya dihapuskan sejak 27 tahun lalu muncul semula di negara ini iaitu sama ada datang dari Filipina atau pun keluarga anak damit berkenaan ada melakukan perjalanan ke luar negara. Menurutnya siasatan awal mendapati keluarga anak damit berkenaan tidak mempunyai sejarah ke luar negara sebelum ini.
“Jadi setakat ini yang paling munasabah ialah datang dari luar Sabah kerana mereka tidak mempunyai sejarah ke luar negara. Berkemungkinan virus yang dibawa orang luar yang datang ke Sabah,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Inovasi Kementerian Kesihatan 2019, di sini hari ini.
Dr Dzulkefly berkata anak damit malang itu mula menunjukkan simptom jangkitan virus berkenaan sebelum dia menerima suntikan vaksin yang kedua.
“Saya berharap ibu bapa dapat melengkapkan kesemua tiga dos suntikan vaksin yang disarankan supaya dapat menghindarkan anak masing-masing dijangkiti penyakit seumpama ini,” katanya. – Bernama