Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OGOS – Orang ramai kini boleh membuat pemeriksaan kenderaan di Stesen Pemeriksaan Kenderaan (VIS) Syarikat Sri Sentosa yang dibuka secara rasmi di Perindustrian Lambak Kanan, kelmarin.
Perasmian VIS berkenaan telah disaksikan oleh para jemputan khas daripada sektor kerajaan dan swasta di mana antara yang hadir ialah Pengarah Bahagian Ekosistem Perniagaan dan Industri, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Allen On.
VIS berkenaan menyediakan proses pemeriksaan kenderaan menyeluruh bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan semua pengguna jalan raya serta memastikan standard keselamatan yang berkualiti.
Ia dilengkapi dengan peralatan teknologi yang canggih dan dikendalikan oleh kakitangan berkemahiran serta membuat pemeriksaan dengan mematuhi piawaian Jabatan Pengangkutan Darat (JPD).
Semua itu dihasratkan untuk mengenal pasti dan membetulkan segala isu supaya dapat mencegah kemalangan dan keselamatan jalan raya secara menyeluruh.
Pada masa yang sama, keselesaan para pelanggan juga diberikan keutamaan, di mana pemeriksa bertugas adalah mesra pelanggan dan berpengetahuan yang akan membimbing pelanggan melalui setiap langkah proses pemeriksaan serta memastikan pengalaman mereka dengan syarikat berkenaan adalah mudah dan memuaskan.