HO CHI MINH CITY – “Kami sedang berusaha untuk menjadikan King Coffee sebagai salah satu daripada lima jenama teratas di dunia dan menjadikan Vietnam pengeluar kopi utama global,” kata isteri raja kopi Vietnam kepada Xinhua.
Le Hoang Diep Thao adalah ketua pegawai eksekutif Trung Nguyen International Corporation (TNI) yang berpangkalan di Bandar Raya Ho Chi Minh, salah satu syarikat yang bernaung dalam Trung Nguyen Group (TNG).
Suaminya, Dang Le Nguyen Vu, telah diiktiraf sebagai raja kopi Vietnam oleh Forbes Asia dan National Geographic Traveler, yang mana merupakan pengasas dan pemilik TNG, sebuah firma kopi terkemuka di Vietnam, yang mahir dalam pembuatan kopi segera, kopi serbuk dan panggang, perdagangan kafe dan eksport kopi.
Selepas pasangan itu berjaya membawa jenama kopi G7 kepada lebih daripada 60 buah negara di dunia, Thao telah melancarkan TNI King Coffee dan menyasarkan untuk menakluki hati peminat-peminat kopi di seluruh dunia, termasuklah lebih 1.3 bilion pengguna China yang menggemari minuman teh.
“Dalam tempoh 20 tahun yang lalu, kita telah memberi tumpuan kepada perniagaan kopi sahaja. Kami menyediakan perkhidmatan penuh, dari ladang bijian kopi sehingga proses mengadun dan pemanggangan,” kata Thao.



“Biji kopi TNI adalah dipilih secara rapi dari biji kopi terbaik di Buon Ma Thuot (pusat wilayah tanah tinggi Dak Lak, kerajaan kopi Vietnam).
Digabungkan dengan teknologi canggih, peralatan pengeluaran yang diimport dari Eropah, dan resipi rahsia dari Trung Nguyen, kopi TNI adalah tersendiri.” Jelas beliau lagi
Pada akhir April, Thao mula mengoperasikan sebuah kilang terbesar TNI King Coffee, dengan kapasiti permulaan sebanyak 9,000 tan biji kopi panggang dan 19,800 tan kopi segera setahun, di wilayah selatan Binh Duong.
King Coffee telah dieksport ke negara-negara di serata dunia, termasuk Amerika Syarikat, Australia, Rusia, China, India, Korea Selatan dan Singapura, dan dijangka boleh didapati di 129 pasaran lain di masa akan datang.
“King Coffee adalah untuk pasaran gergasi,” kata Thao, membayangkan bahawa China adalah pengguna terbesar kopi dunia. Di China, King Coffee telah maju kehadapan untuk menjadi salah satu daripada empat jenama paling laris di T-Mall Supermarket, salah satu daripada tiga laman web e-dagang utama dalam talian Alibaba.
Pada bulan Mac, di acara 96th China Food and Drink Fair yang telah berlangsung di bandar China, Chengdu, Thao mengumumkan bahawa TNI akan berusaha untuk memenuhi sasaran jualan sebanyak AS$1 bilion dari pasaran Cina dalam beberapa tahun akan datang.
“Semakin ramai pemuda Cina yang menyukai minuman kopi dan ia dianggap sebagai gaya hidup yang kasual,” kata Thao.
Peter Tsang, Pengurus Besar Trung Nguyen yang bertanggungjawab bagi tanah besar China, cuba memetik kenyataan Thao bahawa potensi pasaran China adalah besar dan kafe-kafe telah tumbuh bagaikan cendawan di sana dan menjadi sangat diperlukan bagi belia-belia Cina.
“Kebanyakan penduduk di China pada dahulunya suka meminum teh, namun bagi kebanyakan masyarakat Cina terutamanya anak-anak muda, suka meminum kopi,” katanya, sambil menambah bahawa kopi Vietnam yang dieksport ke China telah menerima sambutan baik dan mempunyai layanan istimewa termasuklah insentif cukai.


Terdapat tiga faktor utama yang membawa kepada kejayaan kopi Trung Nguyen di China, iaitu biji kopi Vietnam yang halus, tahu akan selok-belok pemasaran, dan penggunaan mesin dan teknologi dari Eropah, jelas Tsang.
“Kami berharap bahawa kita akan mencapai sasaran jualan sebanyak AS$1 bilion di pasaran China pada tahun 2020,” katanya. Kini, lebih daripada 1,000 kafe Trung Nguyen telah ditubuhkan samaada dari dalam mahupun luar negara.
Walau bagaimanapun, dua dekad lalu, Vu, lahir pada tahun 1971, adalah seorang pelajar perubatan bersama ibu bapa beliau yang miskin. Didorong oleh keinginan untuk berubah dalam kehidupan samaada bagi dirinya dan juga negaranya dengan penjualan kopi proses, Vu, pada tahun 1996, telah membuka sebuah alat pemanggangan kopi di Dak Lak, dengan jumlah tenaga kerja hanya empat orang, termasuklah dirinya dan tiga rakan beliau.
Dengan tidak mempunyai sebarang wang atau pengalaman, Vu bergelut untuk mempertahankan perniagaannya sementara beliau masih menghadiri kelas-kelas pembelajarannya. Masa kian berlalu, dan begitu juga wang yang dilaburkan oleh Vu dalam pengeluaran dan perniagaan kecil-kecilan. Ibu bapanya terpaksa menjual rumah mereka sendiri untuk menyumbang modal asas Vu tersebut.
Menurut media tempatan, Vu, dibebani dengan masalah kewangan tetapi mahu merealisasikan impiannya, berjumpa Thao, seorang wanita berusia 20 tahun, yang dilahirkan dengan kehidupan mewah (bapanya seorang jutawan barang kemas emas di Buon Ma Thuot), dan bersetuju untuk berkahwin.
Vietnam, pengeksport kopi kedua terbesar di dunia selepas Brazil, menghantar 467,000 tan kopi bernilai hampir AS$1.1 bilion di luar negara pada suku pertama tahun ini, menurut Kementerian Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar.
Thao melahirkan kepercayaan kuat beliau bahawa TNI King Coffee akan menjadi satu kejayaan besar, terutamanya di pasaran antarabangsa, seperti jenama sebelumnya iaitu G7.
“Visi utama saya adalah untuk mengembangkan jenama Vietnam di seluruh dunia, dan untuk itu dapat bersaing dengan syarikat-syarikat multinasional dalam industri kopi,” katanya. – Xinhua