MIRI, 11 OKT – Sistem Pemantauan Kenderaan (VMS) telah mula dilaksanakan di sempadan Malaysia-Brunei di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sungai Tujoh di sini untuk mengurangkan kesesakan di sempadan.
Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, pelaksanaan VMS di CIQ Sungai Tujoh adalah yang pertama di Sarawak dan akan diperluaskan di enam CIQ yang ada di negeri ini.
“Setakat 8 Okt 2019 jumlah pengguna berdaftar dalam sistem ialah seramai 70,183 orang dan permohonan yang telah diluluskan adalah sebanyak 58,460 permohonan di CIQ Sungai Tujuh,” katanya kepada pemberita selepas perasmian VMS di CIQ Sungai Tujoh hari ini.
Perasmian VMS itu disempurnakan oleh Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew.
Sharifah Halimah berkata dengan pelaksanaan VMS dapat mengurangkan kesesakan di pintu masuk sempadan dengan proses pemeriksaan dapat disiapkan dalam tempoh kurang dari seminit dan memantau pergerakan kenderaan bermotor pendaftaran asing untuk tujuan memandu atau dieksport.
Beliau berkata, VMS telah mula dilaksanakan secara percubaan pada 25 Jun lepas dengan penggunaan sepenuhnya pada 1 Ogos dan dilihat berjaya mengurangkan kesesakan kerana menggunakan kaedah pandu lalu dengan hanya mengunakan imbasan Kod QR ke atas setiap pas kenderaan.
Terdahulu di dalam ucapannya, Sharifah Halimah berkata kategori yang layak untuk memohon VMS ialah warga asing, warga Malaysia yang memegang status tetap negara asing dan warga Malaysia yang memiliki permit kerja sah negara asing.
Katanya, permohonan boleh dibuat secara dalam talian menerusi www.customssg7.my dengan permohonan dibuat sebelum memasuki negeri ini.
Sementara itu, Ting yang turut berucap mengumumkan peruntukan RM200,000 daripada dana Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang diperuntukkan untuk setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak untuk membantu JKDM melaksankan VMS di seluruh negeri. – Bernama