HANOI, 24 OGOS – Firma internet Vietnam, VNG telah memfailkan permohonan untuk disenaraikan di Amerika Syarikat (AS), tidak lama selepas pembuat kenderaan elektrik, VinFast disenaraikan di bursa New York.
Ditubuhkan pada 2004, VNG mengendalikan pelbagai perkhidmatan, termasuk penstriman muzik, pembayaran mudah alih, permainan dalam talian dan pemesejan.
Zalo miliknya adalah salah satu platform pemesejan paling popular di negara itu, dengan 75 juta pengguna aktif bulanan.
VNG merancang untuk menjual hampir 22 juta saham dalam tawaran awam permulaan (IPO), menurut pemfailan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa AS, dengan julat harga yang dicadangkan belum ditetapkan.
Syarikat itu, yang berpusat di Ho Chi Minh City, merupakan salah satu pengeluar permainan terkemuka Vietnam dan juga mempunyai pejabat di Thailand.

VNG mempunyai cita-cita besar untuk terus berkembang ke Asia Tenggara, Timur Tengah dan Amerika Latin.
Dalam satu kenyataan kepada bakal pelabur, pengasasnya, Le Hong Minh dan Vuong Quang Khai menulis, “Kami dilahirkan selepas perang, dalam sebuah negara yang telah menemui keamanan dan perpaduan, tetapi masih bergelut dengan kemunduran dan pengasingan.
“Kami hanya tahu betapa bertuahnya kami apabila internet tiba di Vietnam pada pertengahan 1990an. Dunia secara ajaib dan tiba-tiba membuka pintu untuk kami,” tambah kenyataan itu.
Antara pemegang saham VNG termasuk syarikat gergasi internet China, Tencent dan pelabur kerajaan Singapura, Temasek. – AFP

