HANOI, 18 JAN – Naib Presiden Vietnam Vo Thi Anh Xuan dilantik memangku jawatan presiden hari ini, sehari selepas bekas Presiden Nguyen Xuan Phuc meletak jawatan, lapor agensi berita Vietnam.
Vuong Dinh Hue, pengerusi Perhimpunan Kebangsaan (NA) Vietnam, menandatangani warkah pelantikan Xuan bagi pihak Jawatankuasa Tetap NA pada mesyuarat luar biasa NA ke-15 hari ini, katanya.
Xinhua melaporkan Xuan menjadi naib presiden sejak April 2021.
Beliau akan berkhidmat sebagai pemangku presiden sehingga badan perundangan tertinggi memilih presiden baharu.
Badan perundangan tertinggi Vietnam pada hari yang sama mengundi untuk memecat Phuc daripada jawatan presiden.
Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam (CPV) pada Selasa bersetuju menerima peletakan jawatan itu selain menggugurkan keahliannya di Politbiro dan Jawatankuasa Pusat CPV. – Bernama