ILLINOIS, 19 NOV – Selama lebih 13 tahun, sebuah Volvo Sedan telah tersadai di Volvo Island, sebuah pulau kecil di tengah-tengah tasik buatan berhampiran Ottawa, Illinois.
Google Maps dipenuhi dengan lokasi pelancongan pelik tetapi menarik dan Volvo Island sememangnya berada dalam senarai teratas. Dimuat naik ke platform pada 2015, ia telah menerima ratusan ulasan positif dan kini mencatat penarafan 4.9 bintang di Google. Agak tinggi bagi sebuah Volvo S80 keluaran 2001 yang biasa, namun bukan setiap hari awda melihat kereta lama terdampar di tengah tasik buatan.
Memetik laporan Oddity Central, asal-usul Volvo Island dapat dikesan pada Scott Mann, penduduk Ottawa dan pemilik dua bengkel membaiki kereta. Tiga belas tahun lalu, selepas sebuah lombong dipenuhi air setinggi kira-kira 40 kaki, Mann memutuskan untuk meletakkan sebuah Volvo lama di sebuah tanjung yang menganjur dari dalam tasik buatan itu, kemudian mengadakan satu pertandingan berkaitannya.
Selepas meletakkan S80 tersebut di atas sebuah pulau kecil yang hampir sama saiz dengan kereta itu sendiri, Scott Mann menggunakan jengkaut untuk membuang tanah tanjung yang menjadi laluan kereta itu ditunda ke pulau berkenaan.
Langkah tersebut penting kerana dia bercadang untuk bertanya kepada orang ramai bagaimana kereta itu boleh berada di tengah tasik yang dalam itu. Namun, rancangan pertandingan itu akhirnya dibatalkan kerana Mann bimbang ada yang cuba masuk ke dalam air untuk menghampiri kereta tersebut. – Agensi

