Pembedahan jantung merupakan prosedur perubatan yang serius dan invasif, yang boleh menimbulkan kebimbangan kepada pesakit.
Namun, satu kajian baharu yang diterbitkan dalam jurnal Mayo Clinic Proceedings mencadangkan bahawa realiti maya (VR) boleh menjadi alat berkesan untuk mengurangkan kebimbangan sebelum pembedahan dalam kalangan pesakit warga emas yang menjalani pembedahan jantung terbuka buat kali pertama.
Walaupun kebanyakan kajian mengenai penggunaan VR sebelum ini lebih tertumpu kepada pesakit muda, hasil kajian ini menunjukkan bahawa VR yang imersif juga berkesan dan dapat diterima dengan baik oleh pesakit yang lebih tua.
Penurunan tahap kebimbangan ini amat penting kerana terdapat kaitan yang diketahui antara kebimbangan sebelum pembedahan dan kesan negatif selepas pembedahan, termasuk peningkatan kesakitan, penurunan aktiviti, serta penggunaan ubat yang lebih tinggi.
Menurut penyelidik utama kajian ini, Dr Jordan Miller dari Mayo Clinic, penemuan ini merupakan satu langkah ke hadapan dalam meningkatkan pengalaman pesakit dan berpotensi digunakan untuk mengoptimumkan pemulihan pasca pembedahan.

Pakar bedah jantung Mayo Clinic, Dr Joseph Dearani dan Dr John Stulak, juga menekankan kepentingan keadaan emosi sebelum dan selepas pembedahan jantung.
“Kami kini menawarkan terapi muzik dan urutan selepas pembedahan jantung kerana kami tahu kesan negatif kebimbangan yang tinggi terhadap pemulihan pesakit.
“Kini, pasukan kami sedang meneroka penggunaan VR secara lebih meluas, yang boleh digunakan pada bila-bila masa dan di mana sahaja, sama ada di dalam atau di luar hospital, sepanjang tempoh pembedahan bagi menilai kesannya terhadap hasil klinikal,” jelas mereka.
Berbeza dengan ubat penenang tradisional yang boleh menyebabkan kesukaran dalam pemasangan tiub pernafasan dan memanjangkan tempoh penggunaannya selepas pembedahan, VR menawarkan alternatif bukan farmakologi yang lebih selamat.
Kajian ini juga menonjolkan potensi VR sebagai alat yang fleksibel, di mana penggunaan tablet sebagai pilihan alternatif dapat membantu pesakit yang mudah mengalami mabuk pergerakan akibat VR.
KAJIAN TERHADAP 100 PESAKIT
Kajian ini melibatkan 100 peserta yang dijadualkan menjalani pembedahan jantung terbuka.
Setiap pesakit memakai monitor untuk merekodkan tanda-tanda vital dan melengkapkan ujian kebimbangan klinikal standard sebelum dan selepas intervensi VR pada hari pembedahan.
Ujian tersebut meminta pesakit menilai keadaan emosi mereka berdasarkan 20 soalan mengenai perasaan mereka, daripada tenang hingga gelisah. Mereka menilai setiap perasaan pada skala satu hingga empat, dengan satu bermaksud ‘tidak sama sekali’ dan empat bermaksud ‘sangat banyak’.
Separuh daripada peserta diberikan tablet VR, manakala separuh lagi menggunakan gogal VR imersif semasa menunggu di ruang pra-pembedahan.
VR menyediakan pengalaman alam semula jadi selama 10 minit yang disertai dengan teknik pernafasan berpandu, di mana pesakit dapat melihat pemandangan pokok dan tepi pantai yang berubah mengikut empat musim.
Tablet memainkan video kandungan yang sama, sementara pengguna gogal VR boleh melihat sekeliling dan mengenal pasti elemen persekitaran, membantu mereka bergerak melalui adegan yang ditayangkan.
Kedua-dua intervensi berjaya menurunkan kadar nadi peserta, tetapi tidak memberi kesan terhadap kadar pernafasan atau tahap oksigen dalam darah.
Secara keseluruhan, skor kebimbangan menurun secara purata sebanyak dua mata dengan penggunaan tablet dan 2.9 mata dengan gogal VR.
Selain itu, penyelidik mendapati terdapat peningkatan ketara dalam sehingga tujuh soalan berkaitan kebimbangan bagi kedua-dua kaedah tersebut.
Beberapa jawapan menunjukkan perubahan positif dalam pandangan emosi pesakit daripada perasaan negatif sebelum ini, satu penemuan yang memberikan harapan kepada para penyelidik mengenai potensi VR dalam mengurangkan tekanan pesakit sebelum pembedahan. – ANN/The Star