SINGAPURA, 28 FEB – Lilia Vu berkata hari ini dia tidak menetapkan banyak matlamat untuk dirinya sendiri tahun ini selepas mencapai kedudukan tertinggi dalam ranking dunia pada 2023, tetapi layak ke Sukan Olimpik Paris akan menjadi tumpuannya.
Vu akan memulakan pertandingan esok dalam Kejohanan Dunia Wanita HSBC di Singapura di kedudukan teratas setelah menikmati tahun yang cemerlang apabila dia memenangi empat kejohanan LPGA, termasuk dua kejohanan utama.
Pemain golf berusia 26 tahun itu cuba untuk kekal tenang ketika dia mengejar peluang untuk mewakili pasukan Amerika Syarikat (AS) di Sukan Paris.
“Golf bukanlah permainan yang sempurna, dan saya cuba mengingatkan diri saya sendiri,” kata Vu kepada AFP di Kelab Golf Sentosa di Singapura.
“Saya sentiasa mengatakan sebab saya sampai ke tahap ini adalah kerana saya berusaha sedaya upaya untuk memenangi setiap kejohanan yang saya sertai,” kata pemain AS itu, yang mempunyai keturunan Vietnam.
“Saya masih belajar untuk menguruskan (tekanan) kerana ia pasti perkara baharu bagi saya.”
Vu mahu menetapkan matlamat yang realistik untuk kempen 2024. “Yang pertama adalah untuk layak ke Sukan Olimpik dan kemudian menang beberapa kali lagi tahun ini,” katanya.
“Saya tidak mahu terlalu spesifik dan menetapkan penanda aras yang terlalu tinggi. Saya hanya mahu ia boleh dicapai.”
Vu memenangi acara jelajah sulungnya di LPGA Thailand tahun lalu dan menamatkan saingan di tempat ketujuh dalam mempertahankan kejuaraannya minggu lalu, lima pukulan di belakang pemenang, Patty Tavatanakit. – AFP