Friday, March 7, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    VW perkenal EV mampu milik, sasar pemulihan pasaran

    DUSSELDORF, 6 MAC – Volkswagen (VW)kelmarin memperkenalkan kereta elektrik (EV) baharu yang dijual pada harga sekitar 20,000 euro (AS$21,500), jauh lebih rendah berbanding model sedia ada, sebagai langkah strategik untuk memulihkan prestasi syarikat.

    Dinamakan VW ID. EVERY1, model itu dijangka mula dijual pada 2027 dengan jarak pemanduan 250 kilometer dan kelajuan maksimum 130km/j, menurut VW semasa pelancaran di Dusseldorf.

    Pengeluar kenderaan terbesar Eropah itu telah melabur besar-besaran dalam peralihan ke EV, namun berdepan cabaran akibat permintaan lemah di Eropah serta persaingan sengit daripada pengeluar tempatan di China, pasaran utama syarikat itu.

    Model baharu itu lebih mampu milik berbanding VW EV terdahulu yang dijual sekitar 35,000 euro, sekali gus menyasarkan pasaran besar-besaran dalam usaha meningkatkan pegangan pasaran.

    Beberapa pengeluar lain seperti Stellantis, Renault dan Citroen turut merancang melancarkan EV pada julat harga yang sama dalam masa terdekat.

    Menurut VW, model itu dibangunkan khusus untuk pasaran Eropah dan akan dihasilkan di rantau itu.

    Keputusan itu dibuat selepas syarikat berdepan kontroversi tahun lalu susulan rancangan untuk memindahkan pengeluaran model ikonik Golf ke Mexico bagi mengurangkan kos.

    Seperti syarikat automotif lain di Eropah, VW turut berdepan krisis industri yang menjejaskan keuntungan, menyebabkan syarikat mengumumkan pemotongan 35,000 pekerjaan di Jerman menjelang 2030.

    Pengeluar EV kini berada di bawah tekanan untuk menawarkan model lebih mampu milik bagi merangsang jualan berikutan sasaran pengurangan pelepasan EU yang semakin ketat. – AFP

    Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Volkswagen, Oliver Blume, mempersembahkan EV baharu ID. EVERY1 di Duesseldorf, barat Jerman pada 5 Mac. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda