Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    VW pertimbang tutup kilang, kurangkan pekerja

    FRANKFURT, 3 SEPT – Syarikat gergasi automotif Jerman, Volkswagen (VW) berkata kelmarin ia mungkin mengambil langkah yang belum pernah diambil sebelum ini untuk menutup tapak pengeluaran di Jerman dan mengancam pemberhentian pekerja selanjutnya ketika rancangan penjimatannya menemui kegagalan.

    “Kenaikan kos di tempat pembuatan kereta itu mengurangkan keuntungan, menyebabkan VW menghadapi cabaran yang amat ketara”, kata kumpulan itu dalam memo dalaman yang diperoleh oleh AFP.

    “Dalam keadaan semasa, penutupan kilang di tapak pengeluaran kenderaan dan komponen tidak lagi boleh dielakkan,” kata VW dalam nota yang dihantar kepada pekerja.

    Kesatuan dan pegawai kerajaan bertindak balas dengan penuh kebimbangan terhadap idea penutupan kilang terhadap pasaran syarikat di negara itu, di mana ia merupakan keputusan yang tidak pernah diambil oleh VW sebelum ini.

    Selain itu, pengumuman daripada salah sebuah syarikat mewah Jerman menambahkan lagi kebimbangan Canselor Olaf Scholz selepas ekonomi domestik bergelut sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

    “Industri automotif Eropah berada dalam situasi yang sangat mencabar dan serius,” kata Ketua Pegawai Eksekutif VW, Oliver Blume, dipetik sebagai berkata dalam memo itu.

    “Persekitaran ekonomi menjadi lebih sukar dan kini pesaing baharu sedang memasuki pasaran Eropah.

    “Keadaan yang sukar itu amat ketara terutamanya di Jerman, yang semakin ketinggalan dari segi daya saing sebagai lokasi pembuatan kereta,” tambahnya. – AFP

    Gambar fail bertarikh 22 Mac 2022 menunjukkan logo pembuat kereta Jerman, VW, di kilang utama syarikat itu di Wolfsburg, utara Jerman. Syarikat tersebut berkata pada 2 September ia mungkin menutup tapak pengeluarannya di Jerman kerana industri auto bergelut untuk menguruskan kos yang semakin meningkat. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda