Sunday, December 22, 2024
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    VW sambung semula operasi

    BERLIN, 29 SEPT – Syarikat Automotif terbesar Jerman, Volkswagen (VW), kelmarin berkata gangguan IT utama yang menyebabkan pengeluaran terhenti di beberapa kilang di Jerman telah diatasi semalaman.

    Masalah IT yang bermula pada Rabu mengganggu kilang jenama VW di seluruh Jerman, termasuk di ibu pejabat kumpulan Wolfsburg. Jenama lain dalam kumpulan VW juga terjejas.

    “Masalah infrastruktur IT dalam rangkaian VW telah diselesaikan pada waktu malam,” kata VW dalam satu kenyataan.

    “Rangkaian pengeluaran global akan beroperasi dan pengeluaran dijangka diteruskan seperti yang dirancang.”

    Tiada petunjuk yang menunjukkan gangguan IT disebabkan ‘oleh pengaruh luar’, tambah VW.

    Media Jerman melaporkan penutupan pengeluaran di beberapa kilang kereta VW pada 27 September. – AFP

    Gangguan itu bermula kira-kira tengah hari pada Rabu dan menyebabkan penutupan kilang Wolfsburg, kilang terbesar VW dan kilang-kilang di Emden, Zwickau, Osnabruck dan Dresden.

    Jurucakap berkata, kilang yang menghasilkan jenama VW lain juga terjejas, dengan laporan akhbar memetik kilang Audi dan Porsche.

    Akhbar kewangan Handelsblatt menyebutnya sebagai ‘salah satu krisis IT paling teruk’ dalam sejarah pengeluar automotif itu, menyatakan pengeluaran juga terganggu di kilang-kilang di China, Amerika Syarikat dan di beberapa kilang di Jerman.

    Bulan lalu, pesaing dari Jepun, Toyota, juga terpaksa menghentikan pengeluaran di semua kilangnya di Jepun akibat gangguan sistem komputer.

    Penghentian sehari pada 29 Ogos di 14 kilang tempatan Toyota berlaku setelah server yang memproses bahagian tempahan alat ganti rosak selepas kerja penyelenggaraan.

    Kejadian itu bukan disebabkan oleh serangan siber, kata Toyota. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda