Tuesday, April 29, 2025
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    VW tolak dakwaan bekas bos

    BERLIN, 9 Feb – Volkswagen (VW) semalam menolak dakwaan oleh bekas bos Ferdinand Piech yang dilaporkan berkata syarikat kereta Jerman itu sedar tentang komplot penipuan pengeluaran “dieselgate” sebelum skandal meletus.

    Majalah Jerman Der Spiegel berkata pada minggu lalu bahawa Piech, bekas pengerusi lembaga penyelia Volkswagen, telah membabitkan bekas CEO kumpulan Martin Winterkorn, yang “tahu tentang penipuan diesel lebih awal sebelum pengakuan.”

    “Semua anggota jawatankuasa eksekutif lembaga penyelia yang terjejas, bertindak secara bebas, telah sebulat suara menolak kesemua kenyataan yang dibuat oleh Ferdinand Piech sebagai tidak benar,” kata Volkswagen dalam satu kenyataan, mengugut akan mengambil tindakan guaman ke atas beliau.

    Piech, cucu pengasas VW yang memegang jawatan CEO di antara 1993 dan 2002, dipaksa meletak jawatan pengerusi lembaga penyelia pada April 2015 selepas pertarungan kepimpinan yang teruk dengan bekas anak didiknya Winterkorn.

    Menurut Der Spiegel, Piech memberitahu penyiasat Jerman bahawa beliau sendiri mendapat tahu daripada pemberi maklumat pada Februari 2015 bahawa syarikat mempunyai “masalah besar” di Amerika Syarikat.

    VW menolak dakwaan bekas bos mereka yang mengatakan mereka sedar akan komplot penipuan pengeluaran “dieselgate” sebelum skandal meletus. – AFP
    VW menolak dakwaan bekas bos mereka yang mengatakan mereka sedar akan komplot penipuan pengeluaran “dieselgate” sebelum skandal meletus. – AFP

    Sumber itu memberitahu Piech bahawa pihak berkuasa AS sedang menyiasat penggunaannya dalam memanipulasi perisian untuk menipu ujian pencemaran dan telah memberikan hasil dapatan mereka kepada Volkswagen.

    Piech seterusnya bertanyakan Winterkorn mengenainya, yang memberi jaminan kepadanya bahawa tidak ada dokumen daripada pegawai AS yang wujud, menurut Der Spiegel.

    Selepas memimpin Volkswagen dari tahun 2007 hingga 2015, Winterkorn meletak jawatan beberapa hari selepas VW mengaku pada September 2015 bahawa ia telah memasang peranti rosak berkenaan dalam 11 juta enjin diesel di seluruh dunia untuk menjadikan kereta nampak kurang mencemar berbanding sebelumnya.

    Winterkorn sentiasa menegaskan beliau tidak tahu mengenai komplot sebelum ia diketahui orang ramai.

    Pendakwa di bandar Jerman Brunswick mengumumkan pada akhir Januari bahawa mereka sedang menyiasat Winterkorn kerana menipu, berkata mereka mempunyai “petunjuk yang mencukupi” yang menunjukkan beliau tahu mengenai penipuan lebih awal daripada yang didakwa oleh beliau. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda