Wednesday, March 19, 2025
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Wa State’ ambil alih pasaran dadah sintetik

    BANGKOK, 5 Feb – Sebuah wilayah dikenali sebagai ‘Wa State’ di Myanmar, kini mengambil alih penguasaan pengeluaran dadah sintetik daripada ‘Segi Tiga Emas’, yang terkenal sejak berpuluh tahun sebelum ini sebagai wilayah pengeluaran dadah paling utama di dunia. Berikutan itu, Wa State, sebuah negeri yang tidak mendapat pengiktirafan, kini dianggap sebagai ‘buah hati sindiket dadah antarabangsa’.

    Menurut Biro Pencegahan Narkotik Thailand (NSB), Wa State kini begitu ghairah untuk memenuhi permintaan terhadap dadah sintetik methamphetamine, yang amat tinggi di seluruh dunia.

    “Sebagai wilayah pengeluran dadah, Segi Tiga Emas kini sudah menjadi sejarah.

    “Sebahagian besar ‘Yaba’ dan ‘Ice’ (derivatif methamphetamine) kini berasal dari Wa State kerana kebanyakan kilang dadah terletak di sana,” kata Ketua NSB Lt Jen Sommai Kongvisaisuk dalam temu bual dengan Bernama di sini, baru-baru ini.

    Beliau berkata permintaan tinggi terhadap dadah sintetik menyebabkan usaha memerangi penyeludupan dadah dari Wa State menjadi lebih sukar.

    Kedudukan Wa State yang melonjak sebagai lokasi pengeluaran dadah sintetik paling utama dibantu oleh kemerosotan pengeluaran heroin di Segi Tiga Emas dan peningkatan permintaan terhadap dadah jenis methamphetamine, kata Sommai.

    Negeri tidak diiktiraf dengan kira-kira 600,000 penduduk itu terbahagi kepada wilayah utara yang bersempadan dengan China dan wilayah selatan yang berkongsi sempadan dengan utara Thailand.

    Negeri itu mempunyai 30,000 anggota tentera dikenali sebagai United Wa State Army untuk mengawal sempadannya. Menurut Sommai, kerjasama rapat antara Thailand, Laos, Myanmar dan China berjaya mengurangkan dangan banyaknya jumlah bekalan heroin dari Segi Tiga Emas hingga memaksa sindiket dadah beralih kepada kegiatan menghasilkan dadah sintetik. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda