Oleh Syahmi Hassan & Mu’min Karim
Gambar oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 SEPT – Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Brunei Darussalam (WAAG Brunei Darussalam) telah melantik ahli-ahli jawatankuasa eksekutif bagi tahun 1444 Hijrah hingga 1445 Hijrah semasa mesyuarat agung ketiga yang berlangsung di Dewan Auditorium Univer-siti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA),
hari ini.
Hadir bagi mempengerusikan mesyuarat berkenaan ialah Raes Jawatankuasa Eksektuif WAAG Brunei Darus-salam bagi tahun 1442 Hijrah hingga 1443 Hijrah, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof.
Turut hadir ialah Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal; Naib Raes I, Profesor Madya Dr Siti Sara binti Haji Ahmad dan ahli-ahli eksekutif serta ahli-ahli rabitah.
Sebelum pelantikan ahli-ahli baharu, mesyuarat juga menyaksikan pembubaran ahli-ahli jawatankuasa bagi tahun 1442 Hijrah hingga 1443 Hijrah selain penelitian dan pengesahan minit mesyuarat perhimpunan yang lepas.
Dalam pada itu, perhimpunan kali ini turut menyaksikan pelancaran Sautur Rabitah oleh Raes Jawatankuasa Eksekutif WAAG Brunei Darussalam iaitu sebuah platform yang merekodkan dan merakam pelbagai aktiviti serta program yang telah dijalankan.
Rekod tersebut akan menjadi rujukan bagi Rabitah Alumni Al-Azhar Al-Sharif Antarabangsa, Negara Brunei Darussalam.
Selaras dengan tujuan penubuhannya sebagai platform penghubung dan penyalur maklumat yang tepat mengenai isu semasa berkaitan dengan ajaran Islam, persatuan berkenaan telah bergiat aktif dalam mengusahakan pelbagai projek dan aktiviti berkebajikan khususnya bagi membantu para ahlinya yang memerlukan dan menghulur sumbangan kepada masyarakat secara umum.
WAAG Brunei Darussalam juga berfungsi bagi menyumbangkan bakti ke arah kemajuan negara dan pembangunan ummah, selaras dengan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan negara ini sebagai Negara Zikir dan dalam menegakkan prinsip Melayu Islam Beraja (MIB).