Sunday, May 11, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wabak demam khinzir: Korea S ambil langkah berjaga-jaga

    SEOUL, 31 MEI – Korea Selatan kini mengambil langkah berjaga-jaga di kawasan sempadan dengan Korea Utara untuk mengekang penularan wabak demam khinzir Afrika, lapor agensi berita Yonhap.

    Korea Utara pada Khamis mengesahkan negara itu kini dilanda wabak demam khinzir Afrika yang dikesan di sebuah ladang di wilayah utara Jagang, bersempadan dengan China dan memaklumkannya kepada Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE).

    Meskipun ladang itu terletak jauh dari sempadan, Kementerian Pertanian Korea Selatan tetap mengambil langkah kuarantin sebagai persediaan berdepan sebarang kemungkinan.

    Sebanyak 77 daripada 99 khinzir yang diternak di ladang terbabit mati, tambah kementerian pertanian itu.

    Sejak wabak mula dikesan di China pada Ogos, ia telah merebak ke negara jiran seperti Mongolia dan Vietnam.

    Kira-kira 350 ladang Korea Selatan yang terletak berhampiran sempadan diletakkan di bawah pemerhatian ketat, selain kementerian merancang menjalankan ujian darah di ladang ternakan dan keputusan dijangka dikeluarkan pada 7 Jun.

    Wabak itu juga dibimbangi memberikan kesan kepada sektor makanan Korea Utara ketika negara sedang mengalami masalah kekurangan makanan akibat sekatan yang dikenakan. – Bernama

    Gambar fail pada Disember 2009, menunjukkan lori Korea Selatan mengangkut ubat influenza Tamiflu dan Renelza ke Korea Utara. Korea Selatan berwaspada dalam pencegahan ke atas wabak demam khinzir Afrika ke atas ternakan khinzirnya selepas Korea Utara mengesahkan wabak tersebut di salah sebuah ladangnya semalam. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda