NAIROBI, 25 MAC – Sudan Selatan sedang berdepan dengan wabak kolera paling teruk dalam tempoh dua dekad, dengan hampir 700 kematian dilaporkan dalam tempoh enam bulan, menurut amaran Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) kelmarin.
Negara yang kaya dengan hasil minyak tetapi miskin dan tidak stabil sejak mencapai kemerdekaan pada 2011 itu kini bergelut dengan gelombang keganasan baharu.
Perbalahan antara pasukan Presiden Salva Kiir dan seteru politiknya, Naib Presiden Pertama Riek Machar, telah mendorong puluhan ribu penduduk melarikan diri.
UNICEF melaporkan bahawa 40,000 kes kolera direkodkan sejak akhir September hingga 18 Mac, termasuk 694 kematian di seluruh negara.
“Ini merupakan wabak terburuk dalam tempoh 20 tahun, dan separuh daripada kes yang dilaporkan adalah kanak-kanak di bawah umur 15 tahun,” kata UNICEF.

Selain Sudan Selatan, Angola juga mengalami wabak yang teruk, dengan lebih 7,500 kes dan 294 kematian antara 7 Januari hingga 18 Mac. UNICEF memberi amaran bahawa risiko penyebaran wabak itu sangat tinggi.
Pertubuhan perubatan Doktor Tanpa Sempadan (MSF) memberi amaran bahawa wabak kolera semakin menular pantas di Sudan Selatan, terutamanya apabila penduduk terus melarikan diri akibat konflik.
Menurut MSF, mereka telah merawat 400 pesakit kolera dalam satu daerah di negeri Upper Nile sahaja, dan wabak itu telah merebak ke negeri Jonglei, di mana MSF mengendalikan pusat rawatan 100 katil.
“Dengan kolera yang merebak pantas serta keganasan yang berterusan, keperluan untuk rawatan perubatan di negeri Upper Nile semakin kritikal,” kata Zakaria Mwatia, ketua misi MSF di Sudan Selatan.
Awal bulan ini, Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) melaporkan sejak Februari, kira-kira 50,000 penduduk telah dipindahkan akibat pertempuran di timur laut Upper Nile. – AFP