Saturday, July 12, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wabak kolera ragut 172 nyawa dalam seminggu

    SUDAN, 27 MEI – Kementerian Kesihatan Sudan melaporkan hari ini peningkatan kes kolera di negara yang dilanda perang itu, dengan 2,700 jangkitan dan 172 kematian dalam satu minggu.

    Dalam satu kenyataan, kementerian itu berkata 90 peratus kes dilaporkan di negeri Khartoum, di mana bekalan air dan elektrik telah terputus sejak beberapa minggu kebelakangan ini akibat serangan dron yang dipersalahkan ke atas Pasukan Sokongan Pantas (RSF), yang berperang dengan tentera sejak April 2023.

    Kes juga dilaporkan di selatan, tengah dan utara negara.

    Kolera adalah endemik di Sudan, tetapi wabak telah menjadi jauh lebih teruk dan lebih kerap sejak perang berlaku, memusnahkan infrastruktur air dan sanitasi serta kesihatan.

    Selasa lalu, kementerian berkata 51 orang telah meninggal dunia akibat kolera daripada lebih 2,300 kes yang dilaporkan sejak tiga minggu lalu, 90 peratus daripadanya di negeri Khartoum.

    RSF bulan ini melancarkan serangan dron di seluruh Khartoum, termasuk ke atas tiga stesen janakuasa, sebelum diusir sepenuhnya daripada kedudukan terakhir mereka di ibu negara minggu lepas.

    Serangan itu menyebabkan bekalan elektrik terputus dan seterusnya rangkaian air tempatan tidak beroperasi, menurut Doktor Tanpa Sempadan (MSF), memaksa penduduk beralih kepada sumber air yang tidak selamat.

    “Stesen rawatan air tidak lagi mempunyai elektrik dan tidak dapat menyediakan air bersih dari Sungai Nil,” kata Penyelaras Perubatan MSF di Khartoum, Slaymen Ammar, dalam satu kenyataan. – AFP

    Gambar menunjukkan penduduk mengisi bekas air di tempat pengagihan bekalan air di Khartoum, Sudan pada 25 Mei. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda