TAWILA, 14 OGOS – Kira-kira 40 orang maut di wilayah Darfur di Sudan dalam wabak kolera pa-ling teruk di negara itu dalam beberapa tahun ini, kata Doktor Tanpa Sempadan (MSF) hari ini.
Badan perubatan amal itu berkata wilayah barat, yang telah menjadi medan pertempuran utama selama lebih dua tahun antara tentera biasa dan Pasukan Sokongan Pantas separa tentera, paling teruk dilanda wabak berusia setahun itu.
“Selain perang habis-habisan, penduduk di Sudan kini mengalami wabak kolera paling teruk yang pernah dialami negara sejak beberapa tahun lalu,” kata MSF dalam satu kenyataan.
“Di wilayah Darfur sahaja, pasukan MSF merawat lebih 2,300 pesakit dan merekodkan 40 kematian pada minggu lalu,” tambahnya.
Badan bukan kerajaan itu berkata 2,470 kematian berkaitan kolera telah dilaporkan pada tahun ini hingga 11 Ogos, daripada 99,700 kes yang disyaki.
Kolera ialah jangkitan usus akut yang merebak melalui makanan dan air yang tercemar dengan bakteria, selalunya daripada najis. Ia menyebabkan cirit-birit yang teruk, muntah dan kekejangan otot.
Kolera boleh membunuh dalam beberapa jam apabila tidak dirawat, walaupun ia boleh dirawat dengan rehidrasi oral dan antibiotik untuk kes yang lebih teruk.
Terdapat peningkatan global dalam kes kolera, yang juga telah merebak secara geografi, sejak 2021. – AFP


