SUDAN, 30 MEI – Wabak kolera di ibu negara Sudan yang dilanda perang telah meragut 70 nyawa dalam dua hari, kata pegawai kesihatan kelmarin, ketika Khartoum menghadapi keadaan kesihatan kritikal yang semakin meningkat selepas lebih dua tahun perang meletus.
Kementerian Kesihatan bagi negeri Khartoum berkata ia merekodkan 942 jangkitan baharu dan 25 kematian Rabu lalu, berikutan 1,177 kes dan 45 kematian pada Selasa.
Peningkatan jangkitan berlaku beberapa minggu selepas serangan dron yang dipersalahkan oleh Pasukan Sokongan Pantas (RSF) separa tentera menyebabkan bekalan air dan elektrik terputus di seluruh ibu negara tersebut.
Bandar itu telah menjadi medan pertempuran sepanjang dua tahun peperangan antara tentera Sudan dan RSF.
Kerajaan yang disokong tentera me-ngumumkan minggu lalu ia telah mengusir pejuang RSF dari pangkalan terakhir me-reka di negeri Khartoum dua bulan selepas merampas semula pusat ibu kota daripada tentera separa tentera.
Khartoum masih musnah dengan infrastruktur kesihatan dan sanitasi hampir tidak berfungsi.
Sehingga 90 peratus hospital di medan pertempuran utama konflik telah dipaksa tutup akibat pertempuran.
Wabak kolera telah meningkatkan tekanan ke atas sistem penjagaan kesihatan.
Kementerian Kesihatan persekutuan melaporkan 172 kematian dalam seminggu hingga Selasa lalu, 90 peratus daripadanya di negeri Khartoum. – AFP
