Friday, December 6, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wabak selesema burung dikesan semula di UK

    LONDON, 6 NOV – Kerajaan United Kingdom (UK) hari ini mengeluarkan amaran kepada penternak ayam agar sentiasa berwaspada selepas wabak selesema burung dikesan di sebuah ladang komersial di utara England, yang merupakan kejadian kedua tahun ini dan pertama bagi musim ini.

    Jabatan Alam Sekitar, Makanan & Hal Ehwal Luar Bandar (DEFRA) kelmarin mengesahkan kehadiran virus selesema burung strain H5N5, sejenis wabak selesema burung yang amat patogenik (HPAI).

    Virus tersebut dikesan di sebuah ladang di Yorkshire, bermakna UK tidak lagi dianggap bebas daripada selesema burung mengikut peraturan Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH).

    Semua haiwan ternakan di ladang tersebut akan dilupuskan, dan zon perlindungan sejauh tiga kilometer diwujudkan di sekitar kawasan tersebut berhampiran bandar tepi pantai Hornsea.

    DEFRA memaklumkan bahawa wabak kali ini melibatkan virus H5N5, dikesan susulan penemuan sebelumnya di Eropah, berbeza dengan wabak terakhir pada Februari 2024 yang melibatkan strain H5N1. Sehingga kini, tiada kes selesema burung dilaporkan di Wales atau Scotland dalam kejadian terbaharu ini.

    Sementara risiko kepada haiwan ternakan kekal rendah bagi premis dengan tahap biosekuriti yang tinggi, risiko kepada burung liar telah dinaikkan daripada tahap sederhana kepada tinggi.

    Antara tahun 2021 dan 2023, UK mengalami wabak selesema burung terbesar dalam sejarahnya disebabkan oleh strain H5N1, yang mengakibatkan kematian 3.8 juta burung serta penularan meluas dalam populasi burung liar. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda