JOHOR BAHRU, 28 JUN – Wad Perubatan Perempuan 1 Hospital Sultanah Aminah (HSA), terbakar kira-kira pukul tiga petang tadi.
Mengesahkan perkara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata bagaimanapun, kesemua 24 pesakit yang berada di wad berkenaan, berjaya diselamatkan.
Beliau yang ditemui pemberita di lokasi kejadian berkata pada mulanya kebakaran adalah kecil dan dapat diatasi oleh Pasukan Respons Kecemasan (ERT) yang dilatih untuk memadamkan kebakaran, namun ia merebak semula.
“Pihak bomba yang sampai ke tempat kejadian dalam masa lima minit kemudian yang berjaya memadamkan sepenuhnya kebakaran 10 minit kemudian,” katanya.
Buat masa ini, beliau berkata 10 daripada 24 pesakit telah dipindahkan ke Hospital Permai manakala selebihnya diletakkan di wad lain di HSA.
Susulan itu, Dr Adham meminta waris pesakit yang terlibat untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu daripada pihak hospital.
Buat masa ini, beliau berkata punca kebakaran masih lagi disiasat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor yang menjalankan kerja-kerja forensik.
Ketika ditanya sama ada punca kebakaran kemungkinan sama dengan kejadian kebakaran pada Oktober 2016, dia berkata: “Kita akan tunggu laporan forensik bomba untuk pastikan sama ada ia similar (sama) dengan yang dahulu (kejadian kebakaran Oktober 2016) atau baharu. Kita akan pastikan segala siasatan dilengkapkan terlebih dahulu.” – Bernama
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2020/06/page-10-B_29062020.jpg)