Kemeriahan ramai penyanyi tempatan melancarkan lagu bertemakan Aidilfitri sejak minggu pertama bulan Ramadan mengundang rasa kurang senang penyanyi Waheeda.
Lapor mStar, Waheeda atau Norwahidah Abdul Wahab, 47, berpendapat tindakan tersebut juga seolah-olah tidak menghormati kesucian bulan Ramadan sehingga ada tidak menjaga penampilan.
“Sebagai anak seni dan peringatan kepada rakan-rakan yang lain. Pada saya sekarang ini sudah makin kurang ajar.
“Sekarang masuk bulan Ramadan dan mula lagu raya, belum masuk pertengahan Ramadan dah promosi lagu raya.
“Bukan itu sahaja, dari segi keterampilan pun sudah tidak dijaga,” katanya.
Waheeda berkongsi perkara tersebut dalam temu bual bersama program podcast Talk To You Later.
Dalam pada itu, Waheeda mengingatkan agar artis tidak terlalu ghairah mempromosikan lagu raya sehingga terlupa tentang keindahan Ramadan.
Malah meminta golongan itu menukar pemikiran mereka tentang mempromosikan lagu masing-masing dan yakin terhadap rezeki daripada Allah.
“Anak-anak seni takut, nak kena keluarkan lagu awal sebab nak promosi. Kenapa, adakah sebab nak bersaing antara satu sama lain?
“Di mana keyakinan terhadap rezeki Allah? Allah naikkan dan Allah juga turunkan. Sampai bila masih nak berada di takuk lama? Jadi tukar pemikiran kita,” luahnya. – Agensi
