KUALA LUMPUR, 8 DIS – Pelari menara nombor satu Malaysia, Soh Wai Ching masih belum dapat melupakan kegagalan di Shanghai selepas sekadar menamatkan perlumbaan di tempat kedua pada Cabaran Towerthon Antarabangsa Menara Kuala Lumpur (KL) 2024, hari ini.
Wai Ching yang kecewa dengan persembahannya hari ini berkata catatan masa 8 minit 16 saat adalah 12 saat lebih perlahan daripada sasaran yang ditetapkan untuk mempertahankan kejuaraan di Malaysia.
“Saya menjangkakan catatan masa yang jauh lebih baik, sekurang-kurangnya di bawah lapan minit kerana masa terbaik saya tahun lepas adalah 7 minit 55 saat. Saya adalah pemegang rekod larian ini, tetapi tahun ini mereka (penganjur) telah menambah satu
tingkat lagi sebagai garisan penamat.
“Ia tambahan 32 langkah, jadi berdasarkan pengiraan saya daripada prestasi tahun lepas, 7.55 ditambah dengan 32 langkah, itu akan memberi saya 8.03 atau 8.04 jika saya dapat mengekalkan atau melakukan apa yang telah saya lakukan tahun lepas,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah hari ini.
Juara Dunia Larian Menara 2024 itu berkata beliau akan berbincang dengan jurulatih untuk menyesuaikan diri dengan pendekatan latihan dan mendapatkan sokongan psikologi bagi mencari semula rentak dalam sukan yang begitu dekat di hatinya. – Bernama