Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    WAIC jadi gelanggang persaingan AI global

    SHANGHAI – Di sebalik robot menari dan avatar digital yang sedia membantu, Persidangan Kecerdasan Buatan Dunia (World AI Conference WAIC) di Shanghai menyaksikan China menyatakan kesungguhannya untuk memimpin dalam bidang kecerdasan buatan (AI) global dan membentuk dirinya sebagai alternatif jelas kepada Amerika Syarikat (AS).

    Tanggapan bahawa AS jauh mendahului dalam bidang pesat ini mula tercabar tahun ini apabila syarikat permulaan China, DeepSeek, memperkenalkan chatbot yang menyaingi sistem terbaik AS dengan kos yang jauh lebih rendah.

    Dengan AI kini menjadi teras perlumbaan teknologi antara kuasa besar, WAIC yang berakhir Selasa lalu menjadi pentas bagi China untuk mengemukakan hujahnya dalam membentuk tadbir urus global AI.

    “China, Amerika Syarikat dan beberapa ekonomi utama lain kini ‘berlumba dalam maraton pada kelajuan Formula Satu’,” kata Steven Hai, penolong profesor inovasi teknologi di Universiti Xi’an Jiaotong-Liverpool.

    “Negara mana yang akan mendahului hanya boleh ditentukan secara dinamik mengikut perkembangan semasa.”

    Sebuah robot humanoid oleh Digit sedang diangkut untuk pameran semasa Persidangan Kecerdasan Buatan Dunia (WAIC) di Pusat Ekspo dan Konvensyen Dunia Shanghai pada 29 Julai. – AFP
    Sebuah Tesla Bot kelihatan semasa Persidangan Kecerdasan Buatan Dunia (WAIC) di Pusat Ekspo dan Konvensyen Dunia Shanghai. – AFP
    Kanak-kanak berinteraksi dengan robot berkaki empat bernama ‘Magic Dog’ oleh Magiclab. – AFP
    Sebuah robot kawalan jauh oleh Unitree Robotics terbaring di atas tanah semasa bertinju. – AFP
    Seorang kanak-kanak perempuan bermain dengan robot. – AFP

    China dan AS mendominasi sektor AI hanya 10 hingga 15 peratus model AI yang dibangunkan sejak kebelakangan ini tidak melibatkan salah satu daripada mereka, menurut Epoch AI, sebuah institut penyelidikan bukan untung.

    Walaupun syarikat-syarikat AS seperti Google dan OpenAI masih menerajui industri, institut tersebut mengklasifikasikan 78 peratus model dari China sebagai terkini berbanding 70 peratus model yang melibatkan penyertaan AS.

    Beijing menetapkan matlamat rasmi untuk menjadi “pusat inovasi AI terkemuka dunia” menjelang 2030.

    “Kini, China berada seiring dengan AS dari segi teknologi teras, dan usaha merebut kepimpinan global menjadi lebih relevan,” kata Tom Nunlist, pengarah bersekutu dasar teknologi dan data di Trivium China.

    “Dengan penawaran AI yang kukuh dan AS yang semakin berpaling ke dalam, persoalannya ialah, adakah visi Beijing akan mendapat sambutan global yang lebih luas?”
    Pada Mei lalu, Brad Smith dari Microsoft memberitahu Senat AS bahawa “faktor nombor satu” dalam perlumbaan teknologi ialah teknologi siapa yang paling banyak digunakan di seluruh dunia.

    ‘AI BERDAULAT’ TARUHAN CHINA

    China bukan sahaja menawarkan aspek teknikal, malah juga aspek ekonomi.

    “Salah satu perbezaan terbesar dengan sektor AS ialah kebanyakan model utama di China… adalah sumber terbuka dan mempunyai berat parameter yang terbuka (open-weight),” kata bekas CEO Google, Eric Schmidt, kepada hadirin di WAIC.

    Ini membolehkan negara lain menyesuaikannya mengikut keperluan masing-masing, jelas George Chen dari firma perunding dasar The Asia Group yang berpangkalan di Washington.

    “Kita sudah lihat negara seperti Mongolia, Kazakhstan malah Pakistan cuba menggunakan model DeepSeek untuk membina versi mereka sendiri,” katanya.

    “China berpeluang menang dari aspek AI berdaulat mengeksport model mereka ke negara-negara tersebut.”

    Kos teknologi China yang jauh lebih rendah baik dari segi perisian mahupun perkakasan (contohnya melalui Huawei) juga menjadi faktor penting, terutamanya bagi negara membangun, tambah Chen.

    Pada Isnin lalu, satu lagi syarikat permulaan China, Zhipu, mengumumkan model AI terbarunya – juga sumber terbuka – yang dikatakan lebih murah berbanding DeepSeek.

    Pada Jun, OpenAI menuduh Zhipu mempunyai hubungan rapat dengan pihak berkuasa China dan menyatakan ia bekerjasama dengan kerajaan dan syarikat milik negara di Asia Tenggara, Timur Tengah dan Afrika.

    “Matlamatnya ialah untuk menanam sistem dan piawaian China dalam pasaran membangun sebelum pesaing dari AS atau Eropah sempat berbuat demikian,” kata laporan tersebut.

    Washington pula giat mempertahankan kelebihan AI mereka dengan memperluas sekatan eksport cip tercanggih ke China sejak beberapa tahun lalu.

    “Walaupun langkah ini mengehadkan bahagian pasaran perkakasan AI global untuk China, ia juga mempercepatkan inovasi tempatan dan mendorong firma China untuk memanfaatkan kelompongan peraturan,” kata Prof. Hai, merujuk kepada aktiviti penyeludupan dan pelanggaran peraturan yang “berleluasa”.

    ISU KEPERCAYAAN

    Cabaran lain yang dihadapi syarikat tempatan termasuk sifat internet China yang tertutup dan “isu kepercayaan umum terhadap penggunaan teknologi dari China,” jelas Nunlist dari Trivium.

    Di WAIC, China cuba menampilkan dirinya sebagai kuasa bertanggungjawab.

    Perdana Menteri Li Qiang menekankan risiko AI dan berjanji untuk berkongsi teknologi dengan negara lain, terutamanya negara membangun.

    Ucapan beliau sangat berbeza dengan ‘Pelan Tindakan AI’ yang dilancarkan Presiden AS Donald Trump beberapa hari sebelumnya bersifat agresif, kurang kawal selia dan secara terang-terangan bertujuan mengukuhkan dominasi AS dalam bidang ini.

    China turut melancarkan pelan tindakannya sendiri di WAIC, selepas satu mesyuarat yang dihadiri perwakilan dari puluhan negara.

    Li turut mengumumkan penubuhan satu organisasi baharu yang diketuai China untuk kerjasama AI antarabangsa.

    Namun, Kementerian Luar China tidak memberikan maklumat lanjut kepada AFP mengenai penubuhan organisasi itu termasuk penyertaan antarabangsa dan beberapa perwakilan luar negara menyatakan mereka tidak dimaklumkan lebih awal tentang pengumuman tersebut.

    Penganalisis Grace Shao menulis bahawa AI masih berada pada peringkat awal.

    “Awda dapat rasakan tenaga yang penuh semangat, namun pada masa yang sama, ketidakmatangan bidang ini,” tulisnya di Substack.

    “Belum ada kesimpulan muktamad tentang siapa yang ‘sedang menang’ buat masa ini.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda