Oleh Salawati Haji Yahya
MUNGKIN sudah bosan dengan dinding yang hanya tampil dengan warna-warni dan kosong tanpa sebarang penghias diding hingga menjadikan ruang nampak suram dan kosong.
Panel kayu atau wainscoting ini adalah seni panel lis pada dekorasi dinding dengan gaya Eropah yang pada mulanya bertujuan untuk melindungi tembok daripada kelembapan, tetapi sekarang ia digunakan sebagai penambah seri bagi setiap ruang untuk menampakannya lebih mewah dan moden.
Bukan setakat itu, penggunaan wainscoting sebagai tambahan untuk mengisi ruang dinding yang mampu memberikan personaliti kepada dinding yang hambar dan kosong selain melindungi permukaan dinding daripada kotoran mahupun kulat.
Penggunaan wainscoting ini akan kelihatan amat kemas dan cantik apabila digandingkan dengan cat atau kertas dinding, malah ada yang lebih suka memilih warna putih untuk nampak lebih tenang dan kemas sekali gus menampilkan suasana dekorasi gaya Inggeris.
Seiring perkembangan zaman, wainscoting yang mulanya menggunakan bahan kayu, sekarang diperluasakan penggunaannya dengan bahan panel GRC yang mana kelebihan utama bahan GRC ini sebanding dengan kayu yang bebas rayap, tahan lembap dan tahan api.


Bagi pencinta seni dekorasi dinding Eropah yang klasik, wainscoting adalah pilihan terbaik untuk hiasan rekaan dalaman rumah.
Pemilihan warna
Dalam pemilihan warna pula, banyak yang memilih warna putih kerana ia melambangkan bersih dan suci, selain pemilihan warna ini digunakan dalam apa jua jenis kediaman kerana ia warna yang ‘selamat’.
Lebih tepat, warna putih sesuai digandingkan dengan pelbagai jenis dan reka bentuk perabot mahupun perabot lembut.
Gabungan panel kayu
Selain menghias dinding dengan panel kayu, gabungan cermin atau diamond mirror juga mampu mentransformasikan dinding yang kosong dan hambar menjadi sesuatu yang kelihatan mewah dan mempesonakan.
Jenis wainscoting pelbagai gaya
Terdapat tiga jenis utama bagi wainscoting iaitu raise panel, flat panel dan bead board panel di mana ketiga-tiga panel ini adalah yang utama untuk menampakkan lagi kemewahan tersebut.
Raise panel adalah jenis panel paling mahal antara ketiga-tiga panel ini di mana ia sesuai untuk rumah dengan gaya kolonial dan lebih tradisional. Selain itu, ia juga akan kelihatan hebat di ruang makan atau pustaka sebuah kediaman yang ingin nampak mewah dan elegan.
Manakala flat panel pula sesuai untuk kediaman yang moden dengan gaya kontemporari selain disarankan untuk menggunakan bingkai dinding rata atau flat panel wainscoat.
Ia juga menawarkan reka bentuk yang lebih bersih dan sleek, mudah untuk diselenggara selain mudah disuai padankan mengikut perubahan konsep kediaman.
Sementara itu, untuk panel bead board pula, ia adalah untuk kediaman ala-ala kotej atau kabin yang comel dan lebih nyaman dipandang dengan ciri-ciri yang simple dan santai. Ia pastinya dapat memberikan suasana yang lebih selesa dan segar.