SUATU masa dahulu, Masjid Ketchaoua yang diiktiraf sebagai tapak warisan dunia oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) merupakan simbol pengaruh kerajaan Uthmaniyah di Algeria.
Terletak di ibu kota Algiers, institusi ibadah tersebut memiliki sejarah tersendiri yang unik untuk diceritakan. Pada tahun 2008, masjid tersebut terpaksa ditutup akibat bencana gempa bumi yang menimpa bumi Algeria. Sungguhpun demikian, kerajaan Turki kemudiannya membiayai kerja-kerja membaik pulih yang mengambil masa lebih tiga tahun bagi menghidupkan kembali institusi ibadah tersebut.
Seorang pekerja tempatan yang ingin dikenali sebagai Salim, berkongsi perasaan girangnya kepada pemberita. “Pertama kali saya menjejakkan kaki untuk solat di masjid itu adalah pada tahun 1978. Ketika itu saya berumur sembilan tahun.
“Selepas masjid ini dibaik pulih, saya tidak sabar untuk kembali dan mengerjakan ibadah di sana,” ujarnya.
Tarikh sebenar pembinaan masjid itu masih lagi dalam perdebatan namun pakar sejarah percaya ia dibina sekitar tahun 1612. Pada penghujung abad ke-18, pemerintah wilayah Uthmaniyah, Hassan Pasha mengubah masjid tersebut secara keseluruhannya sehingga menjadi masjid paling agung di bandar itu.

Terbunuh
Namun, ia hanya mampu bertahan sehingga 40 tahun sahaja sejak Perancis menawan Algeria lantas mengambil alih bangunan tersebut secara paksa. Menurut Pakar Arkeologi dari Universiti Algiers, profesor Aicha Hanafi, ratusan nyawa terbunuh demi mempertahankan rampasan institusi suci itu.
“Selepas masjid itu dijajah oleh tentera kolonial, ia diubah menjadi gereja pada tahun 1832. “Pada 24 Disember tahun yang sama, mereka meraikan sambutan Hari Natal pula secara besar-besaran,” katanya.
Penganut Kristian yang merampas masjid itu membawa masuk perubahan secara fizikal dan spiritual terhadap bangunan tersebut. Sebahagian besar masjid itu pada awalnya dirobohkan dan kemudian dibesarkan sehingga menjadi salah sebuah gereja utama di bandar tersebut.
Ketika itu, dua menara loceng disuntik rekaan gaya ketimuran dibina tersergam indah selain transformasi pintu masuk utama pada bahagian atas tangga.
Melewati usia 55 tahun negara itu mencapai kemerdekaan, Masjid Ketchaoua dilahirkan semula dengan melalui beberapa perubahan rentetan ajaran Islam yang kini semakin diterima secara meluas.


Renovasi terkini menyaksikan penambahbaikan yang berupaya mengembalikan ciri-ciri asli masjid tersebut.
Menariknya, pengubahsuaian tersebut memberi manfaat kepada lebih 1,200 golongan wanita dengan penambahan ruang ibadah baharu. Pengarah salah sebuah agensi nasional, Abdelouahab Zekkagh berkata, pihaknya kerap memantau bangunan-bangunan bersejarah untuk dipulih dan dipelihara. “Kami akan sedaya upaya memelihara monumen bersejarah di sini.”
Puas hati
“Sebahagian besar batu-bata di menara yang telah rosak akan digantikan dengan blok batu baharu satu persatu yang diambil dari bahagian barat Algiers,” katanya. Mimbar asal yang dibina oleh kerajaan Uthmaniyah pada tahun 1794 telah dipulihkan, manakala arah kiblat berbentuk daun juga telah dicat baharu dengan warna emas oleh tukang yang mahir dari Turki.
Arkitek, Akli Amrouche melahirkan sedikit rasa kecewa dengan versi ayat al-Quran yang terpahat pada dinding masjid itu. Ia dikatakan tidak sama dengan versi asli. Namun secara keseluruhannya, beliau berpuas hati dengan perubahan baharu masjid itu setelah sekian lama. “Ia merupakan satu usaha yang wajar dipuji. Kebanyakan menara dan ruang solat telah dibaik pulih,” jelasnya. – AFP