Saturday, July 12, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wajah ‘rosak’ gara-gara tidak tanggal solekan selama 22 tahun

    CHINA, 9 JULAI – Seorang wanita berusia 37 tahun dari Jilin, China, telah menjadi tular selepas mendedahkan bahawa dia tidak menanggalkan solekan dengan betul dalam lebih dua dekad, yang akhirnya menyebabkan ruam teruk di mukanya.

    Dikenali sebagai Gao, wanita China itu berkongsi kisahnya di media sosial sebagai amaran kepada orang lain supaya sentiasa membersihkan muka mereka dengan betul selepas memakai mekap.

    Menurut laporan Oddity Central, dia sendiri didakwa gagal berbuat demikian selama lebih 20 tahun, yang akhirnya membawa kepada reaksi alahan yang serius yang menyebabkan mukanya meradang. Gao berkata dia mula terpesona dengan gincu ibunya pada awal zaman remajanya dan mula mengenakan solekan ketika dia berusia 15 tahun.

    Walau bagaimanapun, dia mendapati menanggalkan solekan itu ‘terlalu menyusahkan,’ sebaliknya mengikut prinsip, ‘kenapa perlu bersusah payah menanggalkan solekan jika awda akan mengenakan semula pada hari berikutnya?’

    Maka dia hanya membilas mukanya dengan air sebelum tidur dan memakai lebih banyak solekan pada keesokan harinya.

    Wajah Gao yang mengalami alahan teruk akibat tidak menanggalkan solekan selama 22 tahun. – Agensi

    Walaupun dia pernah mengalami masalah jerawat selama bertahun-tahun, Gao berkata kulitnya berada dalam keadaan agak baik sehingga awal tahun ini apabila dia mengalami reaksi alahan yang serius yang menyebabkan mukanya membengkak dan berubah bentuk sehingga tidak dapat dikenali.

    Enggan berjumpa pakar dermatologi, dia pergi ke klinik estetik perubatan untuk suntikan ‘penggalak kulit’ yang didakwanya hanya memburukkan keadaan, menambah warna ungu pada kulitnya.

    “Rasa gatal tidak tertanggung… Saya bersembunyi di rumah setiap hari. Saya tidak berani keluar,” Gao mengaku dalam video yang tular di media sosial.

    “Seluruh muka saya berkerut dan mengerikan. Saya tidak berani keluar, berjumpa orang atau berkawan. Paling teruk, ruam itu terasa seperti beribu-ribu semut kecil merayap di muka saya.”

    Dibesarkan dalam keluarga yang sederhana, Gao kadangkala menggunakan bedak asas yang murah, yang disyakinya menyumbang kepada keadaan semasanya, tetapi pakar dermatologi ragu-ragu solekan boleh menyebabkan simptomnya, tidak kira betapa teruk rutin penjagaan mukanya.

    Sesetengah percaya bahawa simptomnya disebabkan oleh pelbagai sebab lain, seperti rosacea dan dermatitis. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda