Wajib kuarantin bagi rakyat luar mulai 1 Sept

KUCHING, 28 OGOS – Semua warganegara Malaysia termasuk penduduk Sarawak dari luar negara yang memasuki negeri Bumi Kenyalang ini perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di pusat kuarantin yang disediakan oleh kerajaan negeri Sarawak berkuat kuasa 1 September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata ujian COVID-19 akan diambil dua kali iaitu pada hari kedua dan ke-10 manakala kos penginapan kuarantin dan kos ujian virus itu untuk rakyat Sarawak akan dibayar oleh kerajaan negeri.

“Bagi yang bukan rakyat Sarawak (Semenanjung, Sabah, Labuan dan bukan warganegara), mereka akan membayar sendiri kos kuarantin dan kos ujian COVID-19,” katanya pada sidang media COVID-19 di Bangunan DUN Lama di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri I Sarawak berkata bagi pergerakan dalam negara, semua warganegara Malaysia tidak perlu menjalani kuarantin, tetapi mereka dikehendaki mengisi borang pengisytiharan kesihatan (E-HDF).

“Semua kemasukan ke Sarawak melalui jalan udara, darat dan laut akan dilakukan ujian saringan COVID-19 secara rawak,” katanya. – Bernama