Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wajib mentaati raja, dituntut syarak

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JULAI – Kedudukan seorang raja dan pemerintah itu memiliki keistimewaan dalam sebuah organisasi kehidupan manusia, dan mentaati raja adalah wajib serta menjadi tuntutan di sisi syarak.

    Perkara tersebut antara intipati tazkirah yang disampaikan oleh Pegawai Pelajaran, Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SASHHB), Awang Nurhazmie bin Haji Razali, selaku Timbalan Penasihat Nadi Al-Qawi Al-Amin, Fakulti Pendidikan Sains Kemasyarakatan, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dari Surau SASHHB semasa acara Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) kali ke-143, malam tadi.

    Acara diteruskan dengan mengundang Ketua Pasukan Beruniform SASHHB, 553 Pegawai Pasukan Kadet Kapten Haji Zaidi bin Mohidin, untuk memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dari Surau SASHHB yang juga dihadiri ahli-ahli kadet tentera.

    Turut mengimarahkan acara tersebut ialah para pelajar dan tenaga akademik SASHHB; guru-guru ugama Daerah Belait; belia masjid dan ahli-ahli Jawatankuasa Takmir (AJK) Masjid Kampung Labu Estet, Temburong; AJK dan jemaah dari Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait serta dari masjid-masjid termasuk surau dan balai ibadat berjumlah 70 buah dari seluruh negara. Juga menyertai ialah warga kerja KHEU dan jabatan-jabatan di bawahnya bersama keluarga dan juga individu yang turut serta secara maya dari kediaman masing-masing.

    Selepas bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, acara diteruskan dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai dipimpin oleh Ketua Belia Masjid Kampung Labu Estet, Awang Muhammad Iffat Imani bin Husaini, bersama belia masjid dan AJK Masjid Kampung Labu Estet dari Masjid Kampung Labu Estet.

    Sejurus itu, bacaan Doa Munajat oleh Pegawai Ugama, Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Pengiran Zainul Arifin bin Pengiran Mohammad Hassan, juga dari masjid yang sama.

    Tazkirah disusuli bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai dipimpin oleh Guru Ugama, Sekolah Ugama Paduka Seri Begawan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Kuala Belait, Awang Shahriful Rizal bin Metali, bersama guru-guru ugama Daerah Belait, Jabatan Pengajian Islam Daerah Belait dari Masjid Muhammad Jamalul Alam.

    Sebelum mengakhiri acara, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Muhammad Jamalul Alam, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Awang Afiq Hairie bin Haji Mat Daud.

    Antara yang menyertai program Malam Munajat anjuran KHEU kali ke-143 yang diadakan secara maya, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN KHEU
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda