Saturday, May 3, 2025
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wakaf bina masjid untuk ganjaran kemudian hari

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MEI – Masjid merupakan sebaik-baik tempat di muka bumi kerana ia adalah rumah Allah SWT, tempat yang suci, tempat berkumpulnya segala kebaikan, tempat orang-orang Islam beribadat dan mengabdikan diri kepada Allah SWT.

    Masjid juga merupakan syiar agama Islam dan masjid juga tempat yang paling disukai oleh Allah SWT.

    Khatib menerangkan perkara tersebut semasa menyampaikan khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk Kelebihan dan Keistimewaan Membina Masjid.

    Khatib turut menjelaskan istimewanya masjid itu dalam agama Islam ialah Allah SWT akan memberikan ganjaran yang besar dan mendirikan rumah di syurga kepada orang-orang yang menghulurkan sumbangan untuk membina masjid.

    Dalam pada itu, khatib turut menyentuh di Negara Brunei Darussalam kita amat bersyukur kerana mempunyai raja yang sangat mengambil berat dan prihatin terhadap kehidupan beragama di negara ini.

    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Ini terbukti apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan penubuhan Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam.

    “Tabung ini satu wadah yang disediakan oleh kerajaan bagi memudahkan orang ramai khasnya rakyat dan penduduk negara ini untuk meraih ganjaran dalam membina masjid walaupun dalam jumlah yang sedikit.

    “Ini kerana jumlah sumbangan kita walaupun kecil namun ia tetap besar di sisi Allah SWT.

    “Pembinaan sebuah masjid itu disifatkan sebagai wakaf. Harta wakaf sebagaimana yang kita ketahui termasuk dalam sedekah dan amal jariah,” jelas khatib.

    Khatib turut menjelaskan ketika ini perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam telah dibukakan kepada orang ramai mulai 28 Mac lalu hingga 31 Disember.

    Perkhidmatan tersebut memberi peluang kepada orang ramai khususnya umat Islam di negara ini untuk menginfakkan dan membelanjakan harta dengan niat sebagai ibadah dan melipatgandakan amal kebajikan semata-mata bagi meraih ganjaran pahala yang dijanjikan oleh Allah SWT.

    Hasil kutipan Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam akan digunakan bagi membina masjid baharu, membaik pulih dan menambah bangunan masjid.

    “Mudah-mudahan segala yang kita sedekahkan dan infakkan dengan tulus ikhlas diterima oleh Allah SWT dan mudah-mudahan dengan yang demikian akan mendapat keredaan, keberkatan dan rahmat yang berpanjangan daripada Allah SWT,” ujar khatib.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda