Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MAC – Awang Abdul Aziz bin Noor Nasran telah berlepas ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), kelmarin, bagi mewakili Negara Brunei Darussalam dalam Pertandingan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-26 yang akan diadakan dari 1 hingga 14 Ramadan 1444 Hijrah.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar ialah Ketua Bahagian Kemajuan Syiar Islam, Awang Hassan Baha bin Haji Umar; Pengetua Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB), Pengiran Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit; dan pegawai dari Bahagian Perhubungan Awam, Antarabangsa dan MABIMS, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Pengiran Muhammad Azrin bin Pengiran Jarail.
Dalam pertandingan itu, Awang Abdul Aziz akan menyertai Kategori 30 juz Al-Quran.
Beliau telah beberapa kali meraih kejayaan dalam bidang hafazan seumpamanya dan pernah menyandang johan kategori E dalam Musabaqah menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 2019 dan 2020. Beliau juga merupakan penerima Ijazah Khas Hafaz Al-Quran 30 Juz.
