Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OKT – Lima wakil dari Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) yang terdiri dari lima orang peserta, kelmarin, berlepas ke Persidangan Pengakap Rantau Asia-Pasifik Kali Ke-28, 2025 di Taiwan.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar, Setiausaha Agung Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam Skip Rostini binti Major (B) Haji Suhaili dan seterusnya menyerahkan bendera Negara kepada Presiden, Dato Paduka Ar. Haji Idris bin Haji Abas selaku Ketua delegasi.
Turut menghadiri persidangan itu, dua pemerhati dari National Rover Secretariat.
Persidangan Pengakap Rantau Asia-Pasifik Kali ke-28 ini akan menghimpunkan pemimpin-pemimpin pengakap dari seluruh rantau Asia-Pasifik untuk membincangkan dasar, strategi dan hala tuju pergerakan pengakap serantau.
Ia juga menjadi platform bagi perkongsian amalan terbaik serta memperkukuh jalinan kerjasama antara organisasi pengakap di rantau ini.
Penyertaan PPNBD dalam persidangan itu mencerminkan komitmen berterusan Brunei Darussalam dalam mendukung pembangunan belia, memperkukuh nilai kepimpinan dan khidmat masyarakat melalui pergerakan pengakap di peringkat antarabangsa.








