NEW DELHI, 3 MEI – Seorang Ahli Parlimen India yang didakwa melakukan penderaan seksual dan merakam video mangsanya berlepas ke Eropah dengan pasport diplomatik.
Prajwal Revanna, 33, yang mewakili kawasan pilihan raya Hassan di dalam negeri Karnataka dalam Lok Sabha (Dewan Rakyat) sedang disiasat kerana didakwa melakukan serangan seksual terhadap beratus-ratus wanita.
Dakwaan melibatkan Revanna menjadi satu isu politik kerana beliau merupakan seorang calon yang bertanding dalam pilihan raya India untuk kerusi dalam Lok Sabha.
Revanna ialah cucu kepada bekas Perdana Menteri, H.D. Deve Gowda dan partinya Janata Dal (Sekular) yang merupakan sekutu kepada parti nasionalis Hindu India Bharatiya Janata Party (BJP).
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri India, Randhir Jaiswal mengesahkan dalam satu taklimat media kelmarin bahawa Revanna menggunakan pasport diplomatik untuk ke luar negara.
“Beliau pergi ke sana dengan pasport diplomatik. Ahli Parlimen diberikan keistimewaan untuk memegang pasport diplomatik,” katanya.
Wakil rakyat berkenaan berlepas ke Frankfurt pada 27 April lepas setelah rakaman video berkenaan tersebar, menurut laporan. – Bernama


