Friday, April 25, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Waktu melaksanakan sembahyang Zuhur bagi yang tidak sembahyang Jumaat

    (Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Hari Jumaat merupakan hari yang sangat istimewa, hari kebesaran bagi umat Islam dan hari yang paling agung daripada hari-hari yang lain.

    Sebagai bukti keagungan hari Jumaat, dalam sebuah hadis telah disebutkan bahawa hari Jumaat adalah lebih baik daripada Hari Raya Aidiladha dan Hari Raya Aidilfitri.

    Pada hari tersebut juga disyariatkan ibadat yang agung, iaitu sembahyang Jumaat yang mempunyai banyak fadilat, antaranya sebagai penghapus dosa dalam setiap minggu sebagaimana maksud hadis bahawa sembahyang Jumaat hingga ke Jumaat seterusnya adalah penebus dosa di antara keduanya selama mana tidak dilakukan dosa-dosa besar.

    Melihat kepada keistimewaan hari Jumaat itu, pastinya tiada sesiapapun yang diwajibkan ke atasnya sembahyang Jumaat akan melepaskan dengan sengaja daripada merebut dan meraih segala fadilat yang dijanjikan pada hari tersebut. Namun dalam sesetengah keadaan, disebabkan ada keuzuran ataupun kerana tidak memenuhi syarat wajib Jumaat, seseorang itu diharuskan oleh syarak untuk meninggalkan sembahyang Jumaat dan diwajibkan ke atasnya untuk bersembahyang Zuhur. Persoalan yang timbul bagi orang yang termasuk dalam kelompok tersebut ialah bilakah masanya untuk mengerjakan sembahyang Zuhur? Adakah dia dituntut mendirikan sembahyang sejurus sahaja masuk waktu Zuhur atau mesti dia menunggu sehingga sekira-kira imam selesai sembahyang Jumaat?

    Dalam ruangan kali ini akan dijelaskan mengenai ketetapan hukum pelaksanaan sembahyang Zuhur bagi orang yang mempunyai keuzuran Jumaat dan orang yang tiada keuzuran Jumaat.

    Sembahyang Jumaat secara berjemaah itu adalah wajib ke atas setiap Muslim kecuali beberapa golongan tertentu sahaja. – Agensi

    Kewajipan sembahyang Jumaat

    Hukum mendirikan sembahyang Jumaat secara berjemaah itu adalah wajib ke atas setiap Muslim kecuali beberapa golongan tertentu sahaja. Perkara ini adalah berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang maksudnya:

    “Sembahyang Jumaat itu hak yang wajib ke atas setiap Muslim (dikerjakan) dalam jemaah, kecuali empat (golongan): hamba yang dimiliki, perempuan, kanak-kanak atau orang yang sakit.” (Hadis diriwayatkan oleh al-Hakim)

    Para ulama menjelaskan bahawa pengecualian sembahyang Jumaat antaranya adalah ke atas golongan perempuan, orang yang tidak mukalaf seperti kanak-kanak, orang gila, orang pengsan, hilang akal bukan kerana disebabkan oleh perkara yang diharamkan syarak dan orang yang mempunyai keuzuran dari segi syarak antaranya orang sakit dan musafir bukan kerana maksiat.

    Kesimpulan daripada penjelasan serta hadis di atas, dapat difahami bahawa mereka yang dikecualikan daripada menghadiri sembahyang Jumaat terbahagi kepada dua:

    Golongan yang pertama pada asalnya diwajibkan menghadiri sembahyang Jumaat, tetapi oleh sebab ada keuzuran syarak, maka tidaklah diwajibkan ke atas mereka mendirikan sembahyang Jumaat, seperti orang yang sakit dan musafir.

    Golongan yang kedua pula, sememangnya tidak diwajibkan menghadiri sembahyang Jumaat seperti golongan perempuan dan kanak-kanak. Menurut sepakat ulama, sembahyang Jumaat tidak diwajibkan atas golongan perempuan, akan tetapi jika dia meninggalkan sembahyang Zuhur dan mengerjakan sembahyang Jumaat, maka yang demikian itu adalah memadai dan tidak perlu lagi mengerjakan sembahyang Zuhur.

    Bagaimanapun orang yang musafir juga masih digalakkan untuk menunaikan sembahyang Jumaat supaya keluar daripada khilaf (perselisihan ulama). Begitu juga disunatkan ke atas orang yang sakit jika dia berdaya dan kanak-kanak sebagai latihan dan untuk membiasakannya. Kanak-kanak lelaki apabila mencapai umur tujuh tahun wajib disuruh atau diarahkan untuk bersembahyang Jumaat dan memukulnya jika dia enggan apabila mencapai umur 10 tahun, sebagaimana kewajipan menyuruhnya menunaikan sembahyang fardu.

    Kedudukan sembahyang Zuhur bagi yang tidak hadir Jumaat

    Pada hakikatnya, mereka yang tidak hadir ke masjid untuk menunaikan sembahyang Jumaat itu sebahagiannya adalah mereka yang tiada mempunyai keuzuran untuk tidak mengerjakan Jumaat, manakala sebahagian lagi mempunyai keuzuran syarak.

    Terdapat sedikit perbezaan dari segi waktu menunaikan sembahyang Zuhur bagi dua golongan tersebut sepertimana dalam penjelasan berikut:

    1. Tiada keuzuran meninggalkan Jumaat

    Bagi orang yang wajib ke atasnya sembahyang Jumaat namun tidak menghadirkan dirinya ke masjid berjemaah tanpa keuzuran, maka wajib ke atasnya mendirikan sembahyang Zuhur setelah selesai Jumaat didirikan dengan segera. Tidak harus baginya menunaikan sembahyang Zuhur sebelum selesai sembahyang Jumaat didirikan. Ini kerana pada asalnya dia diwajibkan dan dituntut untuk sembahyang Jumaat.

    Sekiranya dia mengerjakan juga sembahyang Zuhur sebelum selesai Jumaat, iaitu sebelum selesai imam memberi salam dalam sembahyang Jumaat kerana kejahilannya, maka sembahyang Zuhur yang dikerjakannya itu tidak memadai atau tidak sah, sebaliknya hanya dianggap sebagai sembahyang sunat sahaja. Oleh yang demikian, wajib ke atasnya mengulang semula sembahyang Zuhur dengan segera.

    Namun perlu diingat, jangan dipermudah-mudahkan dan dipandang ringan perkara meninggalkan Jumaat dengan sengaja. Ini kerana mereka yang tidak berjemaah sembahyang Jumaat dengan tiada apa-apa keuzuran untuk meninggalkan Jumaat, sekalipun dia sembahyang Zuhur secara bersendirian, maka dia dihukumkan berdosa besar. Apatah lagi jika dia meninggalkannya tiga kali berturut-turut, maka hatinya akan dicapkan oleh Allah SWT sebagai hati orang munafik sebagaimana yang disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW.

    2. Mempunyai keuzuran meninggalkan Jumaat

    Bagi orang yang ada keuzuran yang menyebabkannya tidak wajib menunaikan sembahyang Jumaat, dia diharuskan memilih sama ada untuk menunaikan sembahyang Zuhur ataupun sembahyang Jumaat.

    Ulama menjelaskan bahawa orang yang mempunyai keuzuran meninggalkan Jumaat terbahagi kepada dua, iaitu orang yang mengharapkan atau menanti keuzurannya akan hilang dan orang yang keuzurannya tetap atau tidak hilang. Penjelasannya seperti berikut:

    (a) Orang yang mengharapkan atau menanti keuzurannya akan hilang sebelum habis sembahyang Jumaat, iaitu sebelum imam memberi salam dalam sembahyang Jumaat, disunatkan dan afdal baginya untuk mengakhirkan atau melambatkan sembahyang Zuhur sehingga selesai sembahyang Jumaat, yakni sehinggalah dia berputus harapan untuk mengerjakan Jumaat. Tujuan melambatkan Zuhur itu ialah dengan harapan uzurnya akan hilang dan dia dapat hadir sembahyang Jumaat.

    Berikut dibawakan persoalan jika salah satu sembahyang Zuhur atau Jumaat atau kedua-duanya sekali sudah dikerjakan:

    i. Jika dia mengerjakan sembahyang Zuhur pada awal waktu, kemudian hilang keuzurannya itu sedangkan masih ada waktu untuk mengerjakan sembahyang Jumaat, maka tidaklah wajib baginya sembahyang Jumaat, hanya disunatkan sahaja.

    ii. Jika dia mengerjakan sembahyang Zuhur kemudian dia mengerjakan sembahyang Jumaat lagi, maka sembahyang fardu yang dituntut ke atasnya sudah tertunai dengan sembahyang Zuhurnya, manakala sembahyang Jumaat adalah sebagai sembahyang sunat baginya.

    Secara amnya, orang yang mempunyai keuzuran masih tetap digalakkan untuk hadir Jumaat sekalipun dia sudah menunaikan sembahyang Zuhur.

    (b) Bagi orang yang tidak hadir menunaikan sembahyang Jumaat dan keuzurannya tetap atau tidak akan hilang, umpamanya golongan perempuan dan orang sakit yang tidak berupaya, orang yang kena bala atau wabak, wajib ke atasnya mengerjakan sembahyang Zuhur dan disunatkan menyegerakan Zuhur sebaik sahaja masuk waktunya agar tidak kerugian daripada memperoleh ganjaran fadilat sembahyang pada awal waktu. Malahan disunatkan juga untuk dikerjakan secara berjemaah pada waktu yang ditetapkan.

    Bagi orang yang ada keuzuran untuk meninggalkan sembahyang Jumaat, sebagaimana yang dinyatakan dalam bahagian 2 (a) dan (b), jika dia bersembahyang Jumaat, maka sembahyang Jumaatnya itu sudah memadai dan dia tidak perlu lagi untuk bersembahyang Zuhur.

    Sebagai kesimpulan mereka yang mempunyai keuzuran meninggalkan Jumaat seperti golongan perempuan, kanak-kanak, orang sakit, musafir, pengsan atau hilang akal yang bukan disebabkan oleh perkara yang diharamkan oleh syarak, disunatkan baginya untuk menunaikan sembahyang Zuhur pada awal waktunya untuk merebut ganjaran dan fadilat sembahyang pada awal waktu. Manakala bagi yang mempunyai keuzuran dan dia mengharap atau menantikan keuzurannya itu boleh atau akan hilang sebelum imam memberi salam dalam sembahyang Jumaat, maka disunatkan baginya untuk mengakhirkan atau melambatkan sembahyang Zuhur sehingga imam selesai menunaikan sembahyang Jumaat.

    Manakala bagi mereka yang meninggalkan sembahyang Jumaat tanpa sebarang keuzuran dianggap berdosa besar dan diwajibkan ke atasnya sembahyang Zuhur. Hendaklah dia mengakhirkan sembahyang Zuhur sehingga imam memberi salam dalam sembahyang Jumaat. Adapun jika dia mengerjakan sembahyang Zuhur sebelum imam memberi salam, maka sembahyang Zuhur yang dikerjakannya itu adalah tidak memadai. Bahkan hendaklah dia mengulang kembali sembahyang Zuhur yang dikerjakannya itu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda