Sunday, March 23, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Waktu operasi ICQS dipendekkan

    KOTA KINABALU, 22 MAC – Pintu masuk sempadan antara Sabah dan Sarawak di Kompleks Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sindumin-Merapok akan beroperasi dari 6 pagi hingga 8 malam sahaja bermula hari ini.

    Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Safar Untong berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Sabah COVID-19 Command Centre pada hari ini dalam usaha mencegah penularan virus berkenaan.

    Sebelum ini operasi ICQS Sindumin-Merapok adalah dari 6 pagi hingga 12 tengah malam.

    Selain itu jadual baharu perkhidmatan kereta api negeri Sabah juga telah ditetapkan bermula hari ini khusus untuk tujuan perkhidmatan yang perlu sahaja.

    “Operasi kereta api dari Kota Kinabalu ke Beaufort telah dihentikan manakala perkhidmatan Beaufort ke Halogilat beroperasi empat kali sehari bermula jam 7.50 pagi (pergi/balik) dan 4.30 petang (pergi/balik).

    “Perkhidmatan dari Halogilat-Rayoh juga dihentikan, manakala Rayoh ke Tenom empat kali sehari bermula jam 7.50 pagi (pergi/balik) dan 4 petang (pergi/balik),” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

    Safar berkata kerajaan negeri juga memutuskan iaitu gelandangan ditempatkan sementara di pusat yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan masing-masing. Beliau berkata kerajaan negeri juga membenarkan operasi kilang memproses makanan dan pengangkutan bahan makanan seperti beras, sayur dan ikan untuk kegunaan domestik.

    Semua ketua kampung, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Dalam Bandar hendaklah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan di bawah seliaan masing-masing. Selain itu, kerajaan negeri turut menegaskan supaya semua perhimpunan awam dan majlis keramaian seperti kenduri, perkahwinan dan acara-acara adat melibatkan orang ramai hendaklah dibatalkan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda