Pada 28 Jun lalu, saya telah menaiki sebuah pesawat penerbangan untuk menuju ke destinasi. Jadual penerbangan menunjukkan waktu berlepas pada jam 4:50 pagi dan waktu ketibaan ialah jam 6:20 pagi.
Saya menyemak waktu solat Fardu Subuh pada hari tersebut – ia masuk pada jam 4:47 pagi dan berakhir pada jam 6:11 pagi. Ini bermakna, keseluruhan waktu solat Fardu Subuh berlalu ketika pesawat sedang berada di udara.
Sebagaimana kita maklum, solat Fardu Subuh tidak boleh dijamak atau digabungkan dengan solat lain, walaupun dalam keadaan musafir.
Dalam suasana sempit di dalam pesawat, sukar untuk berdiri, menghadap kiblat, apatah lagi melaksanakan rukun-rukun solat dengan sempurna.
Oleh itu, para penumpang dan anak kapal yang beragama Islam pada penerbangan tersebut secara realitinya tidak berpeluang menunaikan solat Fardu Subuh pada waktunya, bukan kerana mereka enggan, tetapi kerana ruang dan jadual tidak membenarkan.
Saya menghargai bahawa pihak berkenaan memulakan penerbangan dengan bacaan doa. Itu satu amalan baik yang mencerminkan nilai Islam yang ingin diketengahkan dalam perkhidmatan syarikat.
Namun, persoalan yang timbul, adakah keberkatan yang diminta melalui doa akan hadir sekiranya dalam masa yang sama kewajipan yang diperintahkan oleh Allah tidak diberi tempat?
Saya amat sedar bahawa penyusunan jadual penerbangan bukan perkara mudah. Ia melibatkan pertimbangan teknikal, ekonomi dan operasi yang kompleks. Namun dalam sebuah negara yang menjunjung prinsip kepercayaan kepada Allah dan meletakkan Islam sebagai tiang tamadunnya, pertimbangan terhadap ruang untuk menunaikan solat wajib sepatutnya tidak diketepikan.
Saya percaya pihak pengurusan berkenaan mempunyai kebijaksanaan dan keinsafan untuk meneliti perkara ini secara terbuka dan positif.
Hamba Allah
