Saturday, July 26, 2025
32 C
Brunei

    Berita Terkini

    Waktu terbaik memancing berdasarkan fasa bulan

    Oleh Raz AS –

    Fasa bulan atau solunar merupakan antara topik yang hangat diperkatakan dalam kalangan komuniti pemancing. Ramai pemancing-pemancing berpengalaman terutama nelayan berpegang teguh dengan strategi kiraan fasa bulan untuk turun ke laut dan mendapatkan hasil yang lumayan.

    Oleh yang demikian, banyak majalah-majalah, laman-laman web dan aplikasi online pancing menyediakan kalendar fasa bulan di dalamnya untuk rujukan ramai. Malah terdapat juga jam-jam digital yang direka khas menunjukkan fasa bulan di wajahnya.

    Walau bagaimanapun sejauh manakah kebenaran di sebaliknya atau ia sekadar umpama horoskop untuk ikan yang tahyul semata-mata.

    Pada tahun 1926, seorang pengembara dan penggiat tegar dalam arena pancingan layang, John Alden Knight memperkenalkan sebuah teori yang aneh. Semasa lapangnya, beliau suka mempelajari mengenai kepercayaan-kepercayaan dan folklor yang berkaitan dengan memancing dan berburu.

    Knight bukan sahaja belajar mengenai kepercayaan-kepercayaan tersebut malahan membuat kajian mengenai kaitannya dengan perilaku dan tabiat pemakanan haiwan.

    Cahaya bulan penuh menarik perhatian ikan-ikan kecil bermain di permukaan pada waktu malam seperti lampu yang seterusnya akan mengundang kehadiran ikan-ikan besar. – GAMBAR OLEH FISHING BOOKER

    Daripada kajian-kajian yang dijalankannya itu, Knight telah meneliti sebanyak 33 faktor yang sepertinya memberi kesan ke atas perilaku dan tabiat pemakanan ikan dan haiwan.

    Daripada 33 faktor itu beliau menolak semua teori melainkan berdasarkan gabungan tiga faktor sahaja, iaitu matahari, pasang surut dan bulan.

    Terdapat empat pusingan bulan (lunar period) dalam masa satu hari – dua major dan dua minor. Pusingan major berlangsung selama tempoh dua jam, iaitu bermula dari bulan tegak di atas kepala (lunar transit) atau di ‘bawah kaki’. Manakala minor pula berlangsung selama tempoh satu jam ketika bulan timbul dan terbenam. Mengikut teorinya ikan adalah lebih aktif ketika empat waktu tersebut.

    Meskipun peningkatan aktiviti ikan tidak bermaksud ikan pasti akan memakan umpan pada waktu-waktu tersebut, namun kerana itu adalah waktu ikan aktif mencari makan, ia merupakan waktu yang terbaik untuk memancing.

    Selain daripada itu fasa bulan juga memainkan peranan penting dalam pemilihan hari terbaik untuk turun memancing. Secara amnya fasa bulan dapat dibahagikan kepada empat fasa, anak bulan atau bulan baru, suku pertama, bulan penuh dan suku akhir.

    Lebih senang untuk mengetahui bila bulan akan berada pada fasa-fasa ini dengan menggunakan kalendar Islam yang mana pada setiap pertengahan bulan hijrah atau tanggal 15 hijrah bermaksud bulan akan berada dalam fasa bulan penuh.

    Secara teorinya ikan akan lebih aktif ketika tempoh air pasang surut besar yang berlaku dua kali dalam sebulan, ketika bulan baru dan bulan penuh, menjadikannya hari-hari terbaik untuk turun memancing.

    Meskipun begitu tidak semua sebulat suara bersetuju dengan pendapat tersebut. Penulis sendiri lebih suka memilih untuk turun memancing pada lingkungan tiga hari dalam fasa suku pertama dan tiga hari dalam suku akhir, namun itu sekadar atas alasan peribadi yang mana penulis lebih suka memancing ketika arus air bergerak lebih perlahan sekadar demi keselesaan penulis sendiri. “Haliwat rasanya kan mengail aing bangat atu…”

    Ada yang berpendapat waktu malam ketika bulan penuh adalah waktu terbaik untuk memancing dan mereka mengatakan ikan-ikan terbesar yang mereka perolehi kebanyakannya adalah ketika memancing pada waktu malam ketika bulan penuh.

    Antara teorinya, cahaya bulan penuh menarik perhatian ikan-ikan kecil bermain di permukaan pada waktu malam seperti lampu yang seterusnya akan mengundang kehadiran ikan-ikan besar untuk menghendap, bahkan cahaya tersebut juga membolehkan ikan dapat melihat dengan lebih senang.

    Jika diaplikasikan secara logiknya teori ini, ini bermakna pada fasa awal bulan, waktu terbaik memancing adalah pada waktu siang kerana ikan berkemungkinan tidak akan aktif berburu dalam keadaan malam yang terlalu gelap gelita.

    Tetapi dengan kehadiran lampu-lampu jeti dan jambatan mahupun lampu dari bot yang melimpah ke permukaan air ia turut dapat menarik perhatian ikan-ikan kecil untuk berkumpul sama seperti cahaya bulan.

    Mengikut kajian saintifik, tempoh mengawan banyak spesies air masin selaras dengan pergerakan pasang surut di mana arus deras air pasang basar akan membawa larva-larva ikan ke kawasan muara yang lebih cetek dan lebih selamat. Selain itu pergerakan arus deras juga akan menyebabkan makanan yang ada di atas permukaan dasar laut ‘berterbangan’, menarik ikan-ikan kecil untuk berpesta ria dan seterusnya mengundang ikan-ikan pemangsa.

    Sememangnya adalah diketahui bulan mempengaruhi air pasang surut yang seterusnya juga akan mempengaruhi hidupan dalam air. Namun begitu ia bukanlah satu-satunya faktor penentu untuk memperoleh kejayaan dalam trip memancing kita, lebih banyak lagi faktor-faktor yang dapat memberikan impak yang lebih besar seperti cuaca, suhu air dan lain-lain lagi.

    Oleh itu janganlah sampai kita menunda-nunda trip memancing yang sudah lama ditunggu-tunggu kerana melihat fasa bulan ‘tidak sesuai’ sedangkan tangan sudah ‘kajar-kajar’ hendak beraksi setelah berbulan-bulan sibuk dengan pekerjaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda