Hampir setahun insiden jari kelingking tangan kirinya terputus selepas pisau yang digunakan untuk memotong ayam tersasar, lalu tertetak jarinya, pelakon, Sahronizam Noor mula betah dan menjalani kehidupan normal.
Sahronizam yang muncul dalam filem Waruga: Kutukan Ilmu Hitam yang sedang ditayangkan di pawagam, mengaku semakin selesa dan biasa dengan kekurangan itu.
“Alhamdulillah, semuanya baik-baik sahaja. Walaupun saya kurang satu jari, saya tidak pernah rasa kurang. Tiada rasa terbatas atau sebagainya. Insya-Allah, semuanya okay.
Iyalah, benda sudah tiada, kita hendak cari buat apa.
“Tetapi saya rasa juga kehilangan itu sebab Allah SWT cipta jari dan kuku ada fungsinya.

“Tidak dinafikan terasa juga apabila jari kelingking ini tiada. Ada rasa ngilu bila cuaca sejuk, tetapi apabila memandu dan sebagainya, semuanya okay,” katanya memetik laporan BH Online.
April tahun lalu, Sahronizam hilang jari kelingking tangan kiri selepas pisau pemotong daging yang digunakan untuk melapah ayam, tersasar, lalu terkena bahagian jarinya itu.
Sahronizam bagaimanapun tidak menafikan beberapa minggu selepas kemalangan itu, dia sukar tidur berikutan rasa sakit.
“Lama juga saya ambil masa hendak hilangkan rasa sakit. Awal-awal, memang saya bergantung kepada ubat tahan sakit sebab berdenyut-denyut. Boleh kata, dua minggu pertama, terasa sakitnya.
“Namun, Alhamdulillah, sekarang sudah okay. Apabila berlakon pun saya okay. Cuma ada beberapa aktiviti fizikal saya tidak boleh buat,” katanya. – Agensi

