DORTMUND, 29 Nov – Borussia Dortmund melangkah ke pusingan 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara meski pun seri tanpa jaringan di laman sendiri menentang Brugge awal pagi tadi.
Bagaimanapun pendahulu Bundesliga itu bakal kehilangan Axel Witsel yang mengalami kecederaan lutut dalam perlawanan tersebut.
Selepas pendahulu Kumpulan A, Atletico Madrid terlebih dahulu mengesahkan tempat ke kelompok 16 pasukan terakhir dengan kemenangan 2-0 ke atas pasukan kendalian Thierry Henry, Monaco yang menghuni tangga kedua, Dortmund berjaya memperoleh mata yang diharapkan untuk turut bersama ke peringkat kalah mati.
Bagaimanapun, kejayaan itu agak menggusarkan buat Dortmund menjelang perlawanan seterusnya apabila bakal kehilangan pemain perancang dari Belgium, Witsel yang mengalami kecederaan di bahagian lutut pada minit-minit akhir perlawanan.
Peluang Brugge untuk layak sudah tertutup dan akan ke pusingan kalah mati saingan Liga Europa selepas mengesahkan kedudukan di tempat ketiga kumpulan.
Dortmund masih berpeluang untuk mendahului Kumpulan A jika mereka boleh menewaskan Monaco dalam masa dua minggu lagi dan Atletico gagal untuk menewaskan Brugge di Madrid dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan.
“Kami mempunyai dua peluang besar di awal perlawanan dan kemudian situasi menjadi lebih sukar apabila kami tidak dapat mencari ruang itu,” kata pengarah sukan Dortmund, Michael Zorc.
“Tetapi melayakkan diri ke pusingan 16 pasukan terakhir adalah satu keutamaan.”
Dortmund mendominasi perlawanan di Signal Iduna Park, menikmati posisi permainan 75 peratus dan membuat hantaran tiga kali lebih banyak dari pasukan Belgium itu, namun tidak ada serangan yang membahayakan dibuat oleh kedua-dua tersebut. – AFP