SOUTHHAMPTON, United Kingdom, 29 Jan – Theo Walcott meledak hatrik berdepan bekas kelabnya selepas Danny Welbeck menjaringkan dua gol pada penampilan pertamanya sejak kecederaan lutut pada Mei ketika Arsenal membelasah Southampton 5-0 pada pusingan keempat Piala FA di St Mary’s awal kelmarin.
Ia adalah perlawanan antara dua pasukan kurang bertenaga namun kekuatan masih ada pada Arsenal, juara Piala FA 2014 dan 2015 bagi memastikan pelawat tidak tersingkir.
Pengurus Arsenal, Arsene Wenger pastinya gembira dengan persembahan Welbeck, yang tidak memulakan permainan sejak seri 2-2 di tempat lawan berdepan Man City pada Mei.
Ia adalah kemenangan kedua Gunners di St Mary’s dalam tujuh percubaan dan ia juga adalah balas dendam yang manis selepas tewas 4-0 di tangan pasukan dari selatan itu pada Liga Perdana musim lalu.

Welbeck meletakkan Arsenal di depan menerusi jaringan pertama sejak kemenangan 1-0 berdepan Norwich pada 30 April tahun lalu dan menambah jaringan kedua sebelum Walcott mendapat rentak sebelum rehat, menambah dua lagi jaringan pada babak kedua.
Kedua-dua pengurus melakukan 10 perubahan terhadap pasukan yang memulakan perlawanan sebelum ini, dengan Southampton mara ke final Piala Liga selepas saingan pertengahan minggu berdepan Liverpool di Anfield.
Hanya pertahanan tengah Jack Stephens mengambil tempatnya manakala penjaga gol Harry Lewis, yang membuat penampilan pertama bersama kesebelasan utama buat Saints ialah saingan semula pusingan ketiga berdepan Norwich City, menggantikan Fraser Forster berbanding pilihan kedua Stuart Taylor. – AFP