Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wali Band duet bersama Floor88 di KL

    Konsert gabungan kumpulan Wali Band dan Floor88 menerusi Setlist Dream Festival Collaboration Vol. 2 meriah dengan kehadiran kira-kira 3,000 penonton yang membanjiri Zepp Kuala Lumpur, baru-baru ini.

    Membuka tirai konsert berkenaan, Floor88 tampil dengan persembahan lincah bagi menghiburkan peminat menerusi lagu Zalikha, Hutang, Kong Kali Kong dan 24434.

    Vokalis utamanya, Ayie juga tidak menghampakan apabila berjaya memberikan persembahan pembukaan cukup bertenaga dengan aksi lincahnya bagi membangkitkan kehangatan sebelum kemunculan band Indonesia itu.

    Apa mencuri perhatian, Ayie sempat menyanyikan lagu Roadblock Hatiku bersama salah seorang peminat wanita.

    Waktu yang dinanti-nantikan peminat akhirnya tiba apabila Wali Band muncul di pentas namun ada cara tersendiri memulakan set mereka pada malam tersebut.

    Enggan berhibur semata-mata, Wali Band membawa penonton berhibur sambil mengingati Allah SWT menerusi lagu Cari Berkah dan meminta peminat sama-sama menyanyikan dan menghayati lagi berkenaan.

    Apa menarik perhatian, vokalisnya Faank atau Farhan Zainal Muttaqin sempat mendoakan penonton yang hadir agar dipermudahkan semua urusan terutamanya dalam soal hutang, jodoh dan pekerjaan.

    Doa berkenaan disambut dengan laungan Amin penonton sebelum Farhan meneruskan persembahan dengan beberapa lagi seleksi lagu kerohanian seperti Tobat Maksiat, Kekasih Halal, Ada Gajah Di Balik Batu, Yank dan Aku Bang Toyib.

    “Saya doakan peminat yang hadir ke konsert ini agar dapat selesaikan hutang yang ada, kalau masih mencari kerja segera diberi kerja dan kalau belum bertemu jodoh akan bertemu jodoh,” katanya lagi. – Agensi

    Penonton puas hati dengan konsert kumpulan Wali dan Floor 88. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda