Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Sept – Lebih 400 orang peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar dan ahli keluarga mereka telah menyertai acara Walkaton 3km Hari Keluarga Sekolah Sinar Matahari yang bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan pelepasan walkaton ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Datin Paduka Dr Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil.
Turut hadir ialah ahli-ahli lembaga pengarah dan Pengetua sekolah berkenaan, Naziancina G Ward.
Semasa menyampaikan ucapannya, Naziancina G Ward berkata bahawa acara walkaton ini bertujuan untuk mempromosikan dan mendedahkan kepentingan menjaga kesihatan dan kepentingan beriadah bersama keluarga dengan meluangkan masa khususnya lagi pada hujung minggu.
Pada masa yang sama, ia turut menggalakkan semangat perpaduan, kesefahaman serta meningkatkan dan mewujudkan hubungan erat dalam kalangan ibu bapa dan guru-guru.
Acara berkenaan telah didahului dengan aktiviti senamrobik beramai-ramai.