Oleh Imelda Groves HA
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Ogos – Orang ramai dialu-alukan untuk sama-sama memeriahkan Kempen Subuh Berjemaah dan Program Walkaton Riadah Ria 2.0 di Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong (MHBPT) pada 30 September ini nanti.
Program yang dikelolakan oleh Kumpulan Belia MHBPT, ‘Ibadurrahaman dengan kerjasama ahli Jawatankuasa Takmir MHBPT itu diadakan bagi memberikan kesedaran dan kepentingan menunaikan solat Fardu Subuh secara berjemaah.
Program yang diadakan untuk menitikberatkan aspek kesihatan selain keimanan dan ketakwaan itu juga diharap dapat menjadikan masjid se-bagai pusat ilmu pengetahuan dan kegiatan sosial untuk seluruh masyarakat, khususnya di Daerah Tutong.
Selain itu, program ini merupakan salah satu inisiatif untuk menggalakan masyarakat khususnya para belia untuk sentiasa menghadiri majlis-majlis ilmu dan pelbagai kegiatan sosial di masjid selain mengeratkan hubungan silaturahim.
Antara program yang diadakan bermula pada jam 4:30 pagi itu ialah solat Fardu Subuh berjemaah, ceramah, pembukaan Program Walkaton Riadah Ria dengan sarapan, sesi senaman pagi dan walkaton serta pelbagai pameran.